
Kepulan asap wangi vape & budaya dadah sintetik kini mengancam masa depan anak muda
Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan akibat jerat ketagihan yang membawa kesan negatif kepada masa depan mereka. Faktor pengaruh rakan sebaya menjadi punca utama bermulanya tabiat ini, di mana aktiviti menghisap vape sering kali dilakukan secara tersembunyi di dalam institusi pendidikan. Keadaan ini membuatkan kelompok remaja berasa bebas seolah-olah tiada sebarang kawalan atau tindakan disiplin terhadap perbuatan tersebut.
Keadaan menjadi lebih parah dengan kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai Piu Piu yang dicampurkan secara sengaja ke dalam cecair rokok elektronik, sekali gus membuktikan bahawa produk ini wajar diharamkan sepenuhnya di pasaran. Namun demikian, persoalan besar yang perlu kita fikirkan bersama ialah berapa ramai lagi remaja perlu menjadi mangsa sebelum langkah pengawalan vape dilaksanakan secara menyeluruh?
Ancaman kesan zombi dan manipulasi sindiket dadah
Kebimbangan mengenai penyalahgunaan peranti ini turut disuarakan oleh pihak berkuasa tinggi negara. Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa cecair vape yang mengandungi campuran dadah jenis Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif mampu memberikan kesan khayal yang sangat teruk seumpama zombi kepada penggunanya. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat trend penggunaan vape pada hari ini sudah tersasar jauh dan disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah sebagai modus operandi baharu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Vape kini sudah menjadi satu kebanggaan kepada golongan remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal. Banyak negara luar telah pun mengharamkannya, oleh itu Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik (political will) untuk membanterasnya." - Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Walau bagaimanapun, PDRM tidak mempunyai kuasa mutlak untuk terus mengharamkan penggunaan rokok elektronik ini secara bersendirian kerana perkara tersebut melibatkan bidang kuasa Kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM). Sebagai langkah proaktif, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus melaksanakan pemantauan ketat serta operasi berskala besar secara berterusan, termasuk menyasarkan premis jualan vape bagi menyekat penularan dadah terbaharu ini daripada terus merebak.
Krisis wad psikiatri dan kekurangan kit pengesan di hospital
Dari sudut perubatan awam, cabaran yang dihadapi oleh petugas kesihatan di hospital juga tidak kurang hebatnya. Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Rashidi Mohamed Pakri mendedahkan bahawa antara cabaran utama petugas kesihatan ketika ini ialah kekurangan kit pengesanan terkini untuk mengenal pasti kehadiran jenis dadah sintetik baharu seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate. Berdasarkan data dan trend semasa yang diperhatikan oleh pakar kesihatan, penyalahgunaan vape untuk mengambil dadah sintetik ini berpotensi besar membebankan sistem kesihatan awam negara.
Bahan psikoaktif berbahaya yang dicampurkan ke dalam berbahaya vape tersebut boleh menjejaskan kesihatan mental pengguna secara drastik sehingga mengakibatkan gangguan emosi, halusinasi dan serta ketagihan serius yang memerlukan rawatan khas di wad psikiatri. Ini bermakna, budaya vape bukan sahaja merosakkan kesihatan fizikal, malah mengancam kesejahteraan mental individu secara total. Oleh itu, Dr Rashidi menegaskan bahawa tindakan segera, langkah pencegahan serta penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi mengelakkan peningkatan kes keracunan, isu kesihatan mental dan kos rawatan hospital yang semakin tinggi. Dari aspek perundangan, beliau melihat Akta 852 sebenarnya sudah menyediakan mekanisme kawalan yang baik termasuk menyekat penjualan produk secara dalam talian. Malah, beliau mencadangkan agar elemen dasar Generational End Game (GEG) dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam akta berkenaan demi mengukuhkan lagi usaha pencegahan awal.
Tuntutan Maqasid Syariah dalam memelihara nyawa dan akal
Melalui lensa agama Islam, isu penggunaan rokok elektronik dan vape ini telah diperincikan secara tuntas oleh badan autoriti agama tertinggi di Malaysia. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah sebulat suara memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram kerana ia mendatangkan kemudaratan yang nyata. Ketetapan hukum yang mutlak ini bersandarkan kepada kaedah fikah yang masyhur iaitu Ad-Dharar Yuzal (kemudaratan mesti dihilangkan) serta bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang melarang manusia daripada mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.
Secara saintifik dan syarak, vape terbukti mengandungi racun serta bahan kimia berbahaya yang merosakkan sistem tubuh badan, di samping melibatkan elemen pembaziran harta yang sia-sia. Kedua-dua perkara buruk ini amat bertentangan dengan prinsip utama Maqasid Syariah, terutamanya dalam aspek kewajipan memelihara nyawa (Hifz an-Nafs) serta memelihara akal manusia (Hifz al-Aql). Oleh yang demikian, sekiranya kita membiarkan budaya toksik ini berleluasa tanpa undang-undang yang jelas, ia bermakna kita sebagai sebuah masyarakat Islam sedang membiarkan kemudaratan merosakkan ummah secara sengaja.
Masa depan watan terletak pada ketegasan pembuat dasar
Masa depan sesebuah negara dicerminkan secara langsung oleh kualiti generasi mudanya pada hari ini. Tanpa adanya peraturan bertulis serta undang-undang yang jelas dan tegas seperti yang digesa oleh para pemimpin kepulan asap wangi daripada peranti elektronik ini akan terus mengaburkan masa depan anak-anak muda kita. Kita sering mendengar pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, namun sekiranya rebung itu sendiri sudah mula dirosakkan oleh racun ketagihan yang berselindung di sebalik nama kemodenan, maka tindakan drastik menerusi instrumen perundangan adalah satu-satunya benteng terakhir yang tinggal untuk kita pertahankan.
Keputusan besar kini terletak sepenuhnya di tangan para pembuat dasar sama ada mahu terus berkompromi atas alasan kelangsungan ekonomi industri atau berdiri teguh demi menyelamatkan sebuah generasi. Kesimpulannya, tindakan perundangan yang tegas perlu dilaksanakan segera untuk menyelamatkan generasi muda daripada terus terjebak dalam kancah penyalahgunaan vape dan dadah. Gandingan bahu dan kerjasama erat antara pihak kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa serta masyarakat awam amat penting bagi memastikan usaha pencegahan ini dapat berjalan secara berkesan demi menjamin masa depan negara yang lebih sihat, harmoni dan bebas daripada ancaman ketagihan.
Maklumat penulis:
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia, Nur Hidayati Hishamudin dan Pensyarah, Dr Afiqah Mior Kamarulbaid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my