
Sastera penawar jiwa membentuk insan berempati
Kebelakangan ini, masyarakat kembali dikejutkan dengan rentetan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan. Lebih menyayat hati apabila sebahagian daripada insiden tersebut bukan sahaja mengakibatkan kecederaan fizikal serius malah turut meragut nyawa. Peristiwa sebegini seharusnya membuka mata semua pihak bahawa isu buli bukan lagi sekadar kenakalan remaja tetapi merupakan krisis kemanusiaan yang berkait rapat dengan kegagalan mengurus emosi, konflik dalaman dan tekanan psikologi.
Jika ditelusuri secara lebih mendalam, sebahagian pelaku buli mungkin berhadapan dengan permasalahan emosi yang tidak diselesaikan, pengalaman trauma, tekanan persekitaran atau ketidakupayaan mengawal kemarahan. Kegagalan mengenali serta mengurus emosi akhirnya diterjemahkan melalui tindakan agresif, sama ada dalam bentuk penderaan fizikal, verbal mahupun psikologi terhadap rakan sebaya.
Situasi ini menjadi lebih kompleks apabila berdepan dengan realiti kehidupan Generasi Z (Gen Z), iaitu generasi yang membesar seiring perkembangan pesat teknologi digital. Sejak kecil, peranti pintar dan dunia maya menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
Teknologi sememangnya memberikan pelbagai manfaat, namun kebergantungan yang berlebihan terhadap ruang digital berpotensi menjejaskan keupayaan interaksi sosial secara bersemuka serta kemahiran mengurus emosi secara matang.
Hasilnya, segelintir remaja lebih cenderung meluahkan keresahan menerusi pelantar digital seperti media sosial atau aplikasi kecerdasan buatan (AI), meskipun kesahihan maklumatnya tidak dapat dipastikan. Sungguhpun teknologi berfungsi sebagai alat sokongan namun ia tidak berupaya menggantikan hubungan sesama manusia yang berteraskan empati, kasih sayang dan pemahaman emosi. Hakikatnya, jiwa manusia bukan sekadar memerlukan maklumat bahkan amat menuntut sentuhan kemanusiaan. Tambahan pula, apabila ruang komunikasi emosi antara remaja dengan keluarga, guru dan masyarakat semakin terbatas, perasaan tertekan, marah dan kecewa boleh berkembang menjadi konflik yang lebih besar. Dalam keadaan tertentu, tekanan yang tidak diurus dengan baik boleh mendorong kepada tingkah laku berisiko seperti mencederakan diri sendiri atau melepaskan kemarahan terhadap individu lain melalui tindakan buli.
Buli menurut definisi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah, 'perbuatan mendera atau mempermainkan seseorang murid atau kumpulan murid, lazimnya yang lebih lemah dengan tujuan menggertak, menakutkan atau mencederakan mereka.' Justeru, isu buli tidak boleh ditangani hanya melalui pendekatan hukuman atau kawalan disiplin semata-mata. Pihak berwajib dan ibu bapa perlu melihat persoalan ini dari sudut yang lebih menyeluruh, khususnya dengan memperkukuh pendidikan emosi, nilai kemanusiaan dan adab dalam hubungan sosial.
Penilaian semula ukuran kejayaan pendidikan yang selama ini hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata perlu ditangani secara berhikmah. Kecemerlangan akademik sahaja tidak akan membawa makna besar sekiranya pembangunan sahsiah, empati dan ketahanan jiwa pelajar diabaikan. Pelajar yang cemerlang bukan sekadar individu yang mampu memperolehi keputusan akademik yang tinggi tetapi juga insan yang mampu memahami perasaan orang lain dan mengawal diri menangani masalah kehidupan.
Dalam konteks ini, sastera perlu diberikan ruang yang lebih besar sebagai salah satu pendekatan penyembuhan emosi. Sastera tidak seharusnya dilihat sekadar mata pelajaran yang berkaitan dengan teks dan teori sebaliknya sebagai wahana pembentukan jiwa dan terapi kemanusiaan. Melalui pendekatan biblioterapi, karya sastera boleh menjadi medium yang membantu individu mengenali emosi, memahami pengalaman orang lain dan bijaksana menangani konflik kehidupan. Berbeza dengan teknologi yang hanya memberikan respons berdasarkan data dan algoritma, sastera menawarkan pengalaman batin yang kaya dengan nilai empati, renungan dan kemanusiaan. Apabila seseorang membaca kisah penderitaan, perjuangan, kehilangan atau kebangkitan watak dalam karya sastera, mereka berpeluang melihat dunia daripada perspektif yang berbeza. Proses ini secara tidak langsung membina keupayaan memahami emosi orang lain dan memperkukuh sahsiah diri.
Bagi merealisasikan usaha ini, pihak berwajib perlu memperluas dan mempergiatkan ruang serta aktiviti sastera sebagai wahana ekspresi emosi dalam kalangan pelajar. Mereka harus digalakkan menghasilkan karya kreatif seperti sajak, cerpen, catatan reflektif dan jurnal peribadi sebagai medium untuk menyalurkan perasaan takut, kecewa, marah serta keresahan secara positif dan terkawal. Penulisan kreatif bukan sahaja mengasah daya fikir dan kreativiti malah membuka ruang kepada proses refleksi diri menerusi perkongsian pengalaman, emosi dan konflik dalaman yang mereka lalui. Usaha ini jua boleh diperkukuh menerusi aktiviti bahas, pidato, teater dan deklamasi puisi yang memberi peluang kepada pelajar meluahkan pandangan serta keresahan diri dalam suasana yang lebih sihat dan membina.
Sudah tiba masanya sastera tidak lagi dilihat sebagai bidang yang terpinggir, sebaliknya diangkat sebagai salah satu instrumen penting dalam pembinaan karakter dan peradaban manusia. Dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi dan kecerdasan buatan, manusia tetap memerlukan ruang untuk memahami hati, perasaan dan pengalaman manusia lain. Barah buli tidak mungkin dapat ditangani hanya melalui peraturan, hukuman atau tindakan disiplin semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha membina jiwa yang dipenuhi empati, belas ihsan dan kesedaran tentang nilai kemanusiaan.
Realitinya, sastera mungkin tidak berupaya menyelesaikan keseluruhan permasalahan sosial secara bersendirian namun peranannya dalam proses pemulihan dan penyembuhan jiwa remaja tidak boleh dipandang ringan. Melalui penghayatan karya sastera, pelajar bukan sahaja dibimbing untuk berfikir secara kritis dan bijaksana, malah diasuh agar lebih peka dalam memahami emosi, penderitaan serta pengalaman hidup manusia yang pelbagai. Keupayaan memahami dunia melalui kaca mata orang lain inilah yang menjadi asas kepada pembentukan generasi yang berkeperibadian unggul dan memiliki kecerdasan sosial yang tinggi, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih berperikemanusiaan dalam era digital.
Maklumat penulis:
Pensyarah, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Rahimah Hamdan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my