
Apabila pelajar PhD disuruh 'Tunggu Sahaja': Penyeliaan itu satu amanah
Pengajian Doktor Falsafah (PhD) sering digambarkan sebagai satu perjalanan akademik yang menuntut ketahanan, disiplin dan kebolehan untuk bekerja secara berdikari. Seorang calon PhD sememangnya tidak boleh mengharapkan penyelia memimpin tangannya pada setiap langkah. Namun, berdikari tidak bermaksud dibiarkan bersendirian. Lebih-lebih lagi apabila seseorang pelajar telah menghantar hasil kerja kepada penyelia dan terpaksa menunggu berminggu-minggu, malah mungkin berbulan-bulan, tanpa mengetahui bila maklum balas akan diterima. Dalam keadaan seperti ini, persoalan yang wajar ditanya ialah: sampai bilakah seseorang pelajar perlu menunggu?
Isu kelewatan maklum balas penyelia bukan sekadar rungutan terpencil segelintir pelajar. Isu berkaitan kualiti penyeliaan, komunikasi dan maklum balas kepada calon doktoral telah lama mendapat perhatian penyelidik di Malaysia dan di luar negara. Pada Julai 2026, Portal Berita RTM menerbitkan rencana bertajuk 'PhD Bukan Perjalanan Sendiri: Mengapa Peranan Penyelia Amat Penting?' yang antara lain menegaskan bahawa hubungan penyeliaan yang sihat merupakan hubungan dua hala, iaitu penyelia membimbing manakala pelajar terus bergerak dan melaksanakan penyelidikannya. Dalam konteks akademik pula, pelbagai kajian telah meneliti kepentingan maklum balas penyelia terhadap kemajuan calon doktoral. Malah, terdapat kajian yang merekodkan pengalaman calon yang terpaksa menunggu antara satu hingga tiga bulan untuk mendapatkan maklum balas daripada pasukan penyelia mereka. Jika isu ini tidak serius, mengapa penyelidik dari pelbagai negara terus mengkajinya?
Walau bagaimanapun, membicarakan isu ini tidak bermaksud semua kesalahan perlu diletakkan pada bahu penyelia. Penyeliaan PhD ialah hubungan dua hala dan kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab. Pelajar wajib berdisiplin, melakukan pembacaan, menjalankan penyelidikan dengan bersungguh-sungguh, menghantar kerja mengikut tempoh yang dipersetujui dan membuat pembetulan sebagaimana yang diarahkan. Pelajar juga tidak boleh mengharapkan penyelia melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan sendiri kerana PhD ialah proses membentuk seseorang menjadi penyelidik yang mampu berdikari. Namun, prinsip tanggungjawab itu perlu berlaku secara adil. Jika pelajar dituntut menghormati masa penyelia, penyelia juga sewajarnya menghormati masa pelajar.
Atas sebab itulah ungkapan seperti, “Awak perlu faham, kami sangat sibuk. Awak tunggu sahaja,” tidak sepatutnya menjadi jawapan kepada seseorang pelajar yang sudah lama menunggu maklum balas. Memang benar seseorang penyelia mungkin sangat sibuk. Pensyarah universiti perlu mengajar, menyelia pelajar, menjalankan penyelidikan, mendapatkan geran, menghasilkan penerbitan, menghadiri mesyuarat, menjalankan tugas pentadbiran dan memenuhi pelbagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Pelajar seharusnya memahami realiti tersebut. Namun, meminta pelajar memahami kesibukan penyelia tidak boleh bermaksud meminta mereka menunggu tanpa sebarang kepastian. Jika perlu menunggu, beritahulah berapa lama. Jika penyelia memerlukan tiga minggu, nyatakan tiga minggu. Jika pada bulan tertentu penyelia mempunyai komitmen yang sangat berat, maklumkan kepada pelajar lebih awal. Sekurang-kurangnya pelajar tahu bila mereka boleh menjangkakan maklum balas dan boleh merancang langkah penyelidikan seterusnya.
Hakikatnya, kebanyakan penyelia sendiri pernah melalui susah payah mendapatkan PhD. Mereka pernah menjadi pelajar yang menulis tesis, melakukan pembetulan, mengejar tarikh akhir, menghadapi viva dan menunggu maklum balas. Pengalaman tersebut seharusnya menjadikan mereka lebih memahami kegelisahan seseorang calon PhD yang sedang menunggu. Memang benar dunia akademik hari ini sangat kompetitif dan kenaikan pangkat pula memerlukan seseorang ahli akademik memenuhi pelbagai KPI berkaitan penerbitan, penyelidikan, geran dan khidmat profesional. Namun, janganlah kerana terlalu mengejar KPI, tanggungjawab terhadap pelajar di bawah seliaan menjadi perkara terakhir yang diberikan perhatian. Ketika seseorang ahli akademik bersetuju dan menandatangani persetujuan menjadi penyelia, persetujuan itu datang bersama satu amanah.
Janganlah pula menerima terlalu ramai pelajar semata-mata untuk menambah bilangan penyeliaan dalam rekod akademik jika akhirnya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membimbing mereka. Pelajar bukan angka dalam KPI. Di sebalik setiap nama dalam senarai penyeliaan itu ada seorang manusia yang sedang mempertaruhkan masa, wang, tenaga dan sebahagian daripada masa depannya untuk mendapatkan sebuah ijazah. Berdikari juga tidak bermaksud seseorang calon PhD boleh dibiarkan melakukan segala-galanya sendiri tanpa bimbingan yang sewajarnya. Jika begitulah maksud berdikari, tidak perlulah universiti mewujudkan sistem penyeliaan. Fungsi penyelia bukan untuk menulis tesis bagi pihak pelajar, tetapi untuk memastikan calon tidak berjalan terlalu jauh ke arah yang salah dan hanya menyedari kesilapan itu setelah berbulan-bulan melakukan kerja.
Kelewatan maklum balas juga bukan sekadar menyebabkan beberapa muka surat tesis lambat diperbetulkan. Kesan kelewatan boleh bergerak seperti rantaian. Kelewatan menyemak satu bab boleh menangguhkan pengumpulan data. Kelewatan memberikan maklum balas terhadap analisis boleh menangguhkan penulisan bab seterusnya. Beberapa minggu boleh menjadi beberapa bulan dan beberapa bulan pula boleh menyebabkan pelajar terpaksa mendaftar satu semester tambahan. Akhirnya, bukan sekadar tarikh graduasi yang berubah. Peluang memohon pekerjaan mungkin terlepas, kenaikan pangkat mungkin tertangguh, yuran tambahan mungkin perlu dibayar dan perancangan kehidupan seseorang juga boleh berubah. Justeru, janganlah seseorang pelajar sekadar disuruh menunggu ibarat menunggu buah yang tidak tahu bila akan gugur, tanpa sebarang jaminan atau jangkaan masa.
Persoalan ini menjadi lebih penting apabila melibatkan golongan yang secara berseloroh boleh kita panggil sebagai 'pelajar Sdn Bhd.' Mereka ialah calon yang membiayai sendiri pengajian PhD tanpa tajaan atau biasiswa. Mereka mungkin tidak menikmati kemudahan cuti belajar bergaji penuh dan tidak berpeluang meninggalkan pekerjaan selama tiga atau empat tahun semata-mata untuk memberikan tumpuan kepada penyelidikan. Sebaliknya, mereka perlu bekerja sambil belajar. Pada waktu siang mereka memenuhi tanggungjawab kepada majikan dan memastikan prestasi kerja tidak terjejas. Selepas pulang, ada keluarga yang perlu diuruskan, anak-anak yang memerlukan perhatian dan mungkin ibu bapa yang perlu dijaga. Apabila semua urusan selesai dan orang lain sudah tidur, barulah komputer dibuka dan tesis disambung sehingga lewat malam.
Pada masa yang sama, golongan ini mengeluarkan wang sendiri untuk membayar yuran pengajian serta pelbagai kos lain yang berkaitan dengan penyelidikan, pengumpulan data, perjalanan, persidangan dan penerbitan. Ada yang mengorbankan hujung minggu, cuti tahunan, masa bersama pasangan dan anak-anak serta waktu rehat selama bertahun-tahun. Prestasi di tempat kerja masih perlu dijaga kerana daripada pekerjaan itulah datangnya pendapatan untuk membayar pengajian dan menyara keluarga. Tekanan daripada kombinasi pekerjaan, keluarga, kewangan dan tuntutan akademik ini bukan perkara kecil dan, jika berpanjangan, boleh turut menjejaskan kesejahteraan fizikal dan emosi seseorang.
Oleh itu, penyelia yang mungkin suatu ketika dahulu mendapat peluang mengikuti PhD melalui biasiswa, tajaan institusi, cuti belajar atau kemudahan tertentu perlu berhati-hati daripada menganggap pengalaman semua pelajar adalah sama dengan pengalaman mereka. Tidak semua orang memulakan PhD dari garis permulaan yang sama. Tidak semua mempunyai kemewahan masa yang sama. Tidak semua mempunyai sumber kewangan yang sama. Seseorang pelajar yang menghantar satu bab mungkin mengambil masa berminggu-minggu menyiapkannya di celah-celah pekerjaan dan tanggungjawab keluarga. Bayangkan setelah segala pengorbanan itu dilakukan, jawapan yang diterima hanyalah, 'Tunggulah. Saya sibuk.' Di sinilah perlunya empati dalam penyeliaan. Pelajar tidak meminta layanan istimewa. Mereka hanya memerlukan bimbingan yang sewajarnya dan sedikit kepastian tentang perjalanan pengajian mereka.
Dalam masa yang sama, pelajar juga perlu mengetahui hak mereka. Jangan kerana terlalu menghormati penyelia sehingga merasakan mereka tidak mempunyai sebarang pilihan apabila hubungan penyeliaan sudah benar-benar tidak berfungsi. Setiap universiti mempunyai peraturan dan mekanisme tersendiri berkaitan pengajian pascasiswazah. Pelajar perlu membaca peraturan tersebut dan mengetahui saluran yang boleh digunakan apabila berlaku masalah. Sekiranya terdapat ketidakserasian yang serius, masalah komunikasi yang berpanjangan atau keadaan penyeliaan yang benar-benar menjejaskan kemajuan akademik, pertukaran penyelia boleh menjadi salah satu pilihan tertakluk kepada prosedur universiti masing-masing. Pelajar tidak seharusnya takut menggunakan mekanisme yang memang disediakan untuk melindungi perjalanan pengajian mereka.
Namun, pertukaran penyelia tentunya bukan penyelesaian bagi setiap masalah. Pelajar perlu membezakan antara penyelia yang tegas dengan penyeliaan yang bermasalah. Penyelia yang meminta pembetulan berkali-kali, menolak hujah yang lemah atau meminta pelajar membaca lebih banyak bukan semestinya penyelia yang tidak baik. Teguran akademik memang sebahagian daripada proses PhD. Sebaliknya, isu yang perlu diberikan perhatian ialah apabila komunikasi terputus untuk tempoh yang tidak munasabah, maklum balas tertangguh secara berulang, pertemuan sukar diperoleh atau pelajar dibiarkan tanpa bimbingan sehingga kemajuan penyelidikannya terjejas. Dalam keadaan seperti ini, pelajar sewajarnya mendapatkan bantuan melalui saluran akademik yang betul dan bukannya memendam masalah sehingga bertahun-tahun.
Pada akhirnya, tanggungjawab memastikan penyeliaan berkualiti tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada hubungan peribadi antara pelajar dengan penyelia. Pihak universiti juga perlu lebih tegas menyediakan mekanisme yang mampu mengesan masalah lebih awal. Jika universiti boleh menetapkan tarikh akhir kepada pelajar untuk pendaftaran, laporan kemajuan, pembentangan, penyerahan tesis dan pelbagai urusan lain, sewajarnya terdapat juga garis panduan yang munasabah berkaitan tempoh maklum balas penyelia. Jangan hanya menyediakan saluran aduan apabila keadaan sudah terlalu serius. Sistem yang baik seharusnya mampu mencegah masalah sebelum ia menjadi krisis.
Salah satu mekanisme yang boleh dipertimbangkan sebenarnya sangat mudah. Selepas setiap pertemuan penyeliaan, satu rekod ringkas boleh dibuat dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Rekod tersebut menyatakan perkara yang telah dibincangkan, tindakan yang perlu dilakukan oleh pelajar, tindakan yang perlu dilakukan oleh penyelia dan sasaran bagi pertemuan atau maklum balas seterusnya. Jika pelajar bersetuju menyerahkan sesuatu bab pada tarikh tertentu, penyelia juga memberikan jangkaan munasabah tentang bila maklum balas boleh diterima. Sistem ini bukan bertujuan menghukum atau mengawal penyelia secara berlebihan, tetapi memberikan kejelasan kepada kedua-dua pihak. Jika berlaku kelewatan yang berulang dan tiada aktiviti penyeliaan direkodkan dalam tempoh tertentu, pihak fakulti atau pusat pengajian siswazah boleh mengesan keadaan tersebut lebih awal dan menawarkan penyelesaian sebelum masalah menjadi lebih besar.
Universiti juga perlu menilai beban penyeliaan seseorang ahli akademik secara realistik. Jika seseorang pensyarah sudah mempunyai terlalu ramai pelajar sehingga tidak mampu memberikan maklum balas dalam tempoh yang munasabah, adakah wajar pelajar baharu terus diletakkan di bawah penyeliaannya? Kejayaan penyeliaan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui berapa ramai calon yang berada di bawah nama seseorang penyelia. Kualiti bimbingan, kemajuan calon, tempoh penyelesaian pengajian dan pengalaman pelajar juga sewajarnya menjadi sebahagian daripada ukuran. Penyelia juga manusia dan mempunyai batas kemampuan. Justeru, sistem universiti perlu memastikan beban yang diberikan tidak menyebabkan kedua-dua penyelia dan pelajar menjadi mangsa.
PhD akhirnya bukan sekadar perlumbaan untuk menghasilkan tesis, memenuhi KPI atau menambah bilangan graduan sesebuah universiti. Di hujung setiap tesis itu ada seorang manusia. Ada masa yang telah dikorbankan, wang yang telah dibelanjakan, keluarga yang turut berkorban, kerjaya yang mungkin tertangguh dan masa depan yang sedang menunggu. Pelajar perlu mengambil tanggungjawab terhadap penyelidikan sendiri, manakala penyelia pula perlu menghormati amanah yang diterima ketika bersetuju membimbing seseorang calon. Jika sibuk, beritahu. Jika memerlukan masa, nyatakan jangkaannya. Jika beban penyeliaan sudah terlalu berat, bincangkan penyelesaiannya dengan pihak universiti. Tetapi jangan biarkan seseorang pelajar terus menunggu tanpa kepastian.
Bagi seseorang penyelia, tiga bulan mungkin dirasakan sekadar satu tempoh yang sangat sibuk dalam kalendar akademik. Namun, bagi seorang pelajar PhD, tiga bulan itu mungkin menentukan sama ada dia perlu membayar yuran untuk satu semester lagi, bila dia boleh menghadapi viva, bila dia boleh bergraduasi, bila dia boleh memohon pekerjaan atau kenaikan pangkat, dan bila dia akhirnya boleh meneruskan fasa kehidupan yang seterusnya. Dalam dunia akademik yang begitu banyak berbicara tentang integriti, kecemerlangan dan pembangunan insan, sudah sampai masanya kita melihat kualiti penyeliaan sebagai sebahagian daripada nilai-nilai tersebut. Penyeliaan bukan sekadar satu lagi KPI. Penyeliaan ialah satu amanah.
Maklumat penulis:
Pensyarah Bahasa Inggeris, Kolej Poly-Tech MARA Ipoh, Perak, Dr Nurulhayati Ilias
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my