
Keseronokan permotoran perlu seiring dengan budaya keselamatan
Saban tahun, pelbagai program dan aktiviti permotoran berjaya menghimpunkan ribuan peminat dari seluruh negara.
Sama ada berbentuk konvoi, acara kelab kenderaan, perlumbaan tertutup mahupun karnival automotif, penganjuran sebegini bukan sahaja merancakkan industri permotoran, malah menyumbang kepada sektor pelancongan, ekonomi setempat dan pembangunan bakat sukan bermotor.
Namun, beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini sehingga mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa mengingatkan kita bahawa setiap aktiviti permotoran perlu meletakkan keselamatan sebagai keutamaan.
Hakikatnya, keselamatan jalan raya masih menjadi cabaran besar di negara ini.
Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia menunjukkan ratusan hingga ribuan kemalangan jalan raya direkodkan setiap hari, dengan peningkatan kematian walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan.
Pada tahun 2025, sebanyak 4,267 penunggang motosikal maut, mewakili kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan 6,581 kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia.
Angka ini menunjukkan bahawa golongan penunggang motosikal adalah pengguna jalan raya yang paling berisiko.
Dalam situasi ini, setiap penganjuran aktiviti permotoran wajar menjadi platform untuk memupuk budaya keselamatan, bukannya sekadar menghimpunkan peserta.
Keseronokan tidak seharusnya diukur melalui kelajuan, aksi atau jumlah kehadiran peserta semata-mata, sebaliknya sejauh mana semua pihak pulang ke rumah dengan selamat selepas program berakhir.
Keselamatan bukan hanya tanggungjawab peserta. Ia bermula awal daripada peringkat perancangan sesuatu program.
Penilaian risiko, laluan yang sesuai, kawalan lalu lintas, penyediaan pasukan perubatan, pengurusan kecemasan, taklimat keselamatan dan pematuhan kepada prosedur atau peraturan perlu diberikan perhatian yang sama seperti aspek penganjuran lain.
Dalam banyak kejohanan sukan permotoran antarabangsa, aspek keselamatan sentiasa berkembang melalui penambahbaikan berterusan terhadap prosedur, latihan petugas dan pengurusan risiko.
Peserta juga perlu memahami bahawa memiliki kemahiran menunggang atau memandu sahaja tidak menjamin keselamatan.
Faktor seperti keletihan, cuaca, keadaan jalan, kegagalan mekanikal serta sikap terlalu yakin boleh meningkatkan risiko kemalangan.
Pemakaian peralatan perlindungan yang lengkap, pematuhan kepada arahan penganjur dan disiplin ketika berada di jalan atau lebuhraya merupakan antara langkah asas yang tidak boleh dipandang ringan.
Dalam era media sosial, terdapat juga kecenderungan segelintir individu melakukan aksi berbahaya demi mendapatkan perhatian atau menghasilkan kandungan yang tular.
Budaya ini perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh mempengaruhi orang lain untuk meniru tindakan yang sama.
Aktiviti permotoran sewajarnya menjadi ruang mempamerkan disiplin, kemahiran dan semangat kesukanan, bukannya keberanian yang mengundang risiko.
Namun, pada masa yang sama, minat terhadap sukan permotoran tidak seharusnya dipandang negatif.
Malaysia mempunyai ramai pelumba dan atlet sukan permotoran yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Kejayaan mereka lahir daripada latihan yang berdisiplin, pematuhan kepada peraturan serta penjagaan keselamatan yang tinggi.
Ini membuktikan bahawa minat terhadap sukan permotoran boleh berkembang secara sihat apabila disokong oleh ekosistem yang betul.
Oleh itu, penganjuran aktiviti permotoran perlu dilihat sebagai peluang mendidik masyarakat mengenai budaya keselamatan jalan raya.
Setiap program boleh diselitkan dengan taklimat keselamatan, pemeriksaan kenderaan, demonstrasi penggunaan peralatan perlindungan serta kempen kesedaran kepada peserta dan pengunjung.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah mampu membentuk komuniti permotoran yang lebih bertanggungjawab.
Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak.
Penganjur perlu memastikan setiap program dirancang dengan mengambil kira aspek keselamatan secara menyeluruh.
Peserta pula perlu menjadikan disiplin sebagai budaya, bukannya pilihan.
Agensi kerajaan, pertubuhan berkaitan, penaja dan komuniti permotoran boleh berganding bahu memperkukuh pendidikan keselamatan, manakala masyarakat wajar terus menyokong penganjuran aktiviti yang mengutamakan pematuhan peraturan dan kesejhteraan peserta.
Kejayaan sesebuah acara permotoran bukan diukur melalui jumlah peserta, motosikal atau kenderaan yang berhimpun, tetapi melalui kemampuan memastikan setiap peserta dan pengunjung pulang dengan selamat.
Minat terhadap dunia permotoran wajar terus diraikan, namun keselamatan perlu sentiasa menjadi budaya yang mengiringinya.
Kerana dalam apa jua aktiviti, tiada pencapaian yang lebih bernilai daripada nyawa dan kesejahteraan setiap insan.
Maklumat penulis:
Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia, Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my