
Generasi Alpha pewaris amanah merdeka!
1) "Bagi saya, Generasi Alpha bukan sekadar pewaris negara ini, tetapi merekalah generasi yang suatu hari nanti akan mencorakkan wajah Malaysia.
Sebab itu, saya berharap mereka membesar sebagai anak muda yang berilmu, berani bersuara dan sedar bahawa suara mereka juga merupakan elemen penting dalam pembangunan negara.
Sumbangan kepada negara tidak semestinya sesuatu yang besar.
Seorang pelajar yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu sedang mempersiapkan dirinya untuk negara. Anak muda yang menggunakan media sosial secara bertanggungjawab sedang menjaga keharmonian negara.
Mereka yang menghormati perbezaan kaum dan agama sedang memelihara perpaduan negara.
Malah, menjaga adab, menghormati orang yang lebih dewasa dan menjadi contoh yang baik kepada adik-adik juga merupakan sebahagian daripada sumbangan kepada Malaysia.
Saya mahu melihat Gen Alpha menjadi generasi yang hebat dengan teknologi tetapi tetap tinggi nilai kemanusiaannya; generasi yang berani bersuara tetapi tahu adabnya; generasi yang mempunyai pandangan sendiri tetapi mampu membuat pertimbangan dengan akal yang waras."- Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yok Bin, Muhammad Zulhusnie Khalib.
2) "Setiap kali saya melihat anak-anak generasi Generasi Alpha yang saya ajar kini, besar harapan saya buat mereka.
Sejujurnya, mereka lahir dalam dunia yang serba digital, jauh daripada titisan darah dan air mata pejuang terdahulu.
Oleh itu, ketakutan terbesar sebagai guru adalah pandangan mereka melihat bendera kita hanya sekadar sehelai kain hiasan Ogos dan merdeka hanya tarikh cuti sekolah.
Apabila dewasa nanti, saya harap mereka akan mendongak melihat Jalur Gemilang dengan rasa bangga. Saya impikan sumbangan mereka bukan lagi mengangkat senjata tetapi martabat Malaysia di mata dunia.
Melalui kebijaksanaan digital, memelihara keharmonian kaum di alam maya dan memimpin negara melalui persiapan diri sarat dengan ilmu ukhrawi serta duniawi, teguhkan iman untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Tebus semula keamanan yang mereka nikmati hari ini dalam bentuk sebuah negara yang lebih disegani dan bersatu demi generasi yang seterusnya." - Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tembah, Nur Hasya Athirah Ahmad Fairus.
3) "Generasi Alpha perlu diperkenalkan kepada Jalur Gemilang bukan hanya sebagai bendera yang dikibarkan apabila tiba bulan kemerdekaan tetapi simbol identiti, sejarah dan tanggungjawab rakyat Malaysia.
Apabila yang dewasa bercerita tentang kemerdekaan, jangan hanya meminta untuk mengingati tarikh 31 Ogos 1957, sebaliknya galakkan mereka berbincang tentang apa makna hidup dalam negara aman, boleh bersekolah bersama rakan daripada pelbagai kaum, bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing.
Generasi hari ini hidup dalam persekitaran yang sangat berbeza kerana terdedah dengan media sosial, kandungan digital dan maklumat dari seluruh dunia sejak kecil.
Pada masa sama, teknologi dan media sosial juga boleh digunakan untuk menyampaikan sejarah serta nilai kenegaraan dalam bentuk yang lebih dekat dengan generasi Alpha seperti video pendek, penceritaan digital, permainan interaktif atau kandungan kreatif seperti TikTok.
Paling penting, beri ruang kepada anak muda untuk bertanya dan berbincang, bukan hanya meminta mereka menerima dan menghafal." - Penyelaras Pendidikan Awal Kanak-Kanak Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Fatin Aliana Mohd Radzi.
4) "Harapan saya terhadap Generasi Alpha bukan sekadar mereka menjadi generasi yang lebih pandai menggunakan teknologi.
Saya mengharapkan mereka menjadi generasi yang mampu menggunakan ilmu dan teknologi untuk mencipta sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain serta negara.
Jika seorang murid hari ini membaca sebuah buku, kemudian daripada pembacaan itu lahir satu idea dan daripada idea lahirlah sebuah karya. Suatu hari kelak karya itu memberi manfaat kepada masyarakat. Itulah generasi yang kita mahu bina.
Inilah semangat Merdeka bagi orang muda, bukan sekadar mengibarkan bendera tetapi menjadi pencipta masa hadapan gemilang." - Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK TTDI Jaya, Ruzain Syukur Mansor.
