
Tun Hasmah: Dari bilik kuliah ke legasi negara
Pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali pada usia 100 tahun hari ini meninggalkan legasi besar dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan khidmat kepada masyarakat.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi.
Di sebalik ketokohannya sebagai doktor dan tokoh masyarakat, perjalanan pendidikan Dr Hasmah turut mencatat sejarah tersendiri.
Selepas Perang Dunia Kedua, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura dan merupakan satu-satunya pelajar perempuan Melayu dalam kohortnya.
Pada tahun 1955, beliau menamatkan pengajian perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya di Singapura sebelum memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Perjalanan daripada seorang pelajar perubatan kepada tokoh kesihatan awam itu menjadi sebahagian daripada legasi ilmu dan perjuangan yang dikenang hingga hari ini.


PROFIL PENDIDIKAN DR HASMAH
1941 – Menduduki peperiksaan Senior Cambridge selepas menamatkan pendidikan di St Mary’s School, Kuala Lumpur.
1947 – Melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
1955 – Menamatkan pengajian perubatan dan memperoleh kelayakan doktor perubatan daripada Fakulti Perubatan, Universiti Malaya di Singapura. Beliau merupakan antara wanita Melayu terawal yang mengikuti pengajian perubatan di institusi berkenaan. Selepas menamatkan pengajian, beliau menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan dan memulakan kerjaya dalam bidang kesihatan awam.

1965 – Dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak, antara pelantikan bersejarah bagi wanita dalam perkhidmatan perubatan negara.
1974 – Dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri, sekali gus menjadi wanita pertama memegang jawatan tersebut.
Sumber: Perdana Leadership Foundation dan National University of Singapore (NUS)