
Tun Hasmah yang kita kenali melalui media
Sejak pengumuman pemergian beliau diterima, setiap platform media penuh dengan berita-berita mengenai proses pengurusan jenazah beliau secara langsung. Dari televisyen, ke radio, sehinggalah ke media sosial, semua turut berduka. Jika radio sering memutarkan lagu untuk menggembirakan hati para pendengar, namun tidak hari itu.
Pemilihan lagu dan ucapan lebih berhati-hati untuk menghormati pemergian seorang sosok ibu buat kita semua. Televisyen pula, tidak henti-henti membuat lintas langsung dari lokasi bagi menyampaikan maklumat buat para penonton yang tidak dapat hadir sama ke lokasi bagi menyantuni kali terakhir Allahyarhamah Tun Dr Hasmah atau lebih dikenali dengan, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Malaysia bersedih, namun ada sesuatu yang menarik tentang rasa kehilangan yang menyelubungi Malaysia ketika ini. Ramai antara kita tidak pernah bertemu dengan beliau secara langsung. Tidak pernah bersalaman dengan beliau. Tidak pernah duduk semeja, jauh sekali berbual. Beliau juga tidak pernah mengenali kita. Namun pemergian beliau terasa sangat dekat.
Rata-rata di platform media, masing-masing berkongsi pengalaman bersama beliau setika hayatnya. Di radio dengan para pemanggilnya, di televisyen juga begitu. Malah di media sosial dipenuhi gambar dan rakaman mengenai beliau. Ada yang berkongsi gambar lama. Ada yang memuat naik kembali video yang pernah mencuit hati. Ada yang bercerita tentang pertemuan singkat dengan beliau, di sebuah majlis, di hospital, di kafe atau mungkin dalam satu acara yang berlaku bertahun-tahun dahulu.
Ada pula yang berkongsi cerita tentang kebaikan beliau. Tentang bagaimana beliau melayan orang di sekeliling. Tentang kata-kata yang pernah diucapkan. Tentang senyuman, sapaan atau momen kecil yang mungkin hanya berlangsung beberapa minit, tetapi kekal dalam ingatan orang yang mengalaminya. Kita membaca satu demi satu. Dan anehnya, cerita orang lain tentang beliau turut terasa seperti sebahagian daripada cerita kita. Cerita-cerita ini mungkin bersifat peribadi ketika ia berlaku. Tetapi apabila dikongsikan melalui media sosial, ia menjadi milik bersama. Mungkin kerana begitulah kita mengenali Allahyarhamah Tun Dr Hasmah selama ini.
Melalui media
Bagi generasi yang membesar dengan media tradisional, wajah Allahyarhamah Tun Dr Hasmah sudah lama menjadi sebahagian daripada landskap media Malaysia. Kita melihat beliau di kaca televisyen, membacanya di dada akhbar dan mendengar mengenai beliau melalui berita.
Ketika televisyen menjadi nadi ruang tamu keluarga, wajah itu kerap hadir bersama perkembangan negara. Ada ketikanya dalam acara rasmi. Ada waktunya berdiri di sisi Tun Dr Mahathir Mohamad. Ada masanya kamera hanya sempat merakam senyuman atau reaksinya.
Begitulah media bekerja. Sedikit demi sedikit, satu imej menjadi familiar. Tahun demi tahun, seseorang yang tidak pernah kita temui boleh terasa seperti seseorang yang sudah lama kita kenali. Kemudian media berubah.
Jika dahulu institusi media menentukan gambar dan kisah Tun Siti Hasmah yang sampai kepada masyarakat, hari ini rakyat sendiri menyumbang kepada pembentukan memori tentang beliau. Kita sendiri menjadi pencerita. Dan mungkin di sinilah jawapan kepada persoalan mengapa pemergian seseorang yang tidak pernah kita temui boleh terasa begitu dekat. Kerana selama puluhan tahun, media telah mempertemukan kita dengannya. Bukan secara fizikal, tetapi melalui imej, suara dan cerita. Tanpa disedari, kehadiran itu menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita sendiri.
Hari ini, media yang sama membawa berita bahawa beliau telah pergi. Tetapi media juga memastikan cerita tentang beliau tidak pergi bersama-sama. Setiap gambar yang dikongsi, setiap rakaman lama yang dimainkan semula dan setiap pengalaman pertemuan yang diceritakan sedang menambah satu lagi lapisan kepada ingatan kita tentang beliau.
Mungkin ada banyak sisi Allahyarhamah Tun Dr Hasmah yang tidak pernah kita ketahui. Tetapi sejak pemergian beliau, melalui cerita mereka yang pernah bertemu dan bekerja dengan beliau, kita seperti sedang mengenali beliau sekali lagi. Kali ini bukan hanya sebagai tokoh yang selama ini kita lihat di kaca televisyen. Tetapi sebagai seorang individu yang pernah menyentuh kehidupan individu lain. Kadangkala hanya melalui sebuah senyuman, sapaan atau kebaikan kecil yang tidak pernah masuk berita. Selama puluhan tahun, media telah membawa beliau begitu dekat dengan kita. Kerana itu, kehilangan beliau sangat kita rasakan.
Selamat jalan, bonda.
Kisah-kisah tentangmu akan terus hidup dalam ingatan sebuah negara.
Al-Fatihah.
Maklumat penulis:
Pensyarah, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Siti Aishah Mohammad Razi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my