
Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan
"Dia antara pelajar terbaik di sekolah dan kami yakin dia mampu mendapat semua A dalam SPM tahun depan."
Demikian kata seorang rakan sekelas Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor petang semalam.
Rakan yang enggan dikenali itu berkata, Irene Sofiya seorang pelajar yang sangat fokus dalam pembelajaran selain aktif menyertai aktiviti sekolah.
"Dia suka fokus dalam pembelajaran dan aktif dalam aktiviti sekolah. Sebab itulah kami seperti tidak percaya apa yang berlaku terhadapnya.
"Kami masih terbayang wajahnya dan kami kehilangan dia buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui pada malam Sabtu.
Menceritakan kejadian, katanya, ketika kelas tambahan berlangsung, Irene Sofiya tidak berada di dalam kelas dan rakan-rakan menyangka dia tidak hadir kerana kurang sihat.
"Seorang ada bertanyakan mengenai Irene Sofiya tetapi masing-masing tidak mengetahui ke mana dia pergi.
"Saya juga diberitahu Irene Sofiya tidak pulang ke rumah. Jadi saya tidak fikir perkara bukan-bukan boleh berlaku terhadapnya," katanya.
Ujarnya lagi, ada pelajar perempuan syak sesuatu tetapi mereka tidak beritahu.
"Selepas Maghrib, cikgu menghubungi setiap pelajar dan bertanya kelas tambahan bermula dan berakhir jam berapa.
"Saya pelik dan bertanyakan kepada cikgu sebelum cikgu memberitahu apa yang sedang berlaku di sekolah pada hari terbabit.
"Saya terkejut dan tidak menjangka kejadian ini boleh berlaku," katanya.
Sementara itu, ketika tinjauan di lokasi kejadian, mendapati beberapa kenderaan keluar masuk kawasan itu termasuk kenderaan Unit K-9 Polis.
Orang ramai terdiri daripada ibu bapa dan pelajar turut berada di perkarangan sekolah bagi mendapatkan perkembangan kes berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, Irene Sofiya ditemui mati dengan kesan kecederaan pada badan dipercayai dibunuh di dalam dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, dekat sini.
Mangsa ditemui neneknya bersama seorang rakannya yang datang ke sekolah selepas menyedari pelajar terbabit tidak pulang ke rumah walaupun kelas tambahan sudah berakhir.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama neneknya memandangkan ibunya sudah lama meninggal dunia akibat kanser, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
