
Kesihatan mata: Penglihatan jelas, persediaan SPM lebih mantap
Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai pelajar semakin giat mengulang kaji sebagai persediaan menghadapi peperiksaan penting ini. Namun, di sebalik kesibukan belajar, menghadiri kelas tambahan dan menggunakan peranti digital, kesihatan mata sering terlepas daripada perhatian.
Masalah penglihatan yang tidak dikenal pasti boleh menjejaskan keselesaan membaca, tumpuan dan pembelajaran. Jadi, apakah tanda-tanda yang perlu diperhatikan dan bagaimana pelajar boleh menjaga kesihatan mata sepanjang tempoh ulang kaji?
Mata sihat, pembelajaran lebih selesa
Penglihatan yang jelas membantu pelajar mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa. Pelajar yang rabun jauh mungkin sukar melihat tulisan di papan putih. Sementara itu, masalah penglihatan dekat atau koordinasi kedua-dua mata boleh menyebabkan ketidakselesaan ketika membaca untuk tempoh yang lama.
Antara tanda yang wajar diberi perhatian ialah sakit kepala selepas membaca, mata cepat letih, penglihatan kabur, kerap mengecilkan mata untuk melihat dengan jelas serta sukar mengekalkan tumpuan ketika mengulang kaji.
Gejala ini kadangkala dianggap sebagai keletihan biasa akibat belajar terlalu lama. Namun, sesetengahnya mungkin berkaitan dengan masalah penglihatan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.
Mengapa pemeriksaan oleh ahli optometri berdaftar penting?
Pemeriksaan mata bukan sekadar menentukan sama ada seseorang memerlukan cermin mata. Ahli optometri berdaftar terlatih untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh yang boleh merangkumi penilaian tahap penglihatan, pengukuran kuasa refraksi, pemeriksaan koordinasi kedua-dua mata dan penilaian kesihatan mata.
Pemeriksaan yang sesuai dapat membantu mengenal pasti masalah seperti rabun jauh, rabun dekat, astigmatisme dan gangguan fungsi penglihatan tertentu. Jika terdapat tanda penyakit mata, pesakit boleh dirujuk untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Ibu bapa digalakkan membawa anak menjalani pemeriksaan mata, khususnya jika mereka menunjukkan tanda kesukaran melihat atau berasa tidak selesa ketika belajar.
Amalkan peraturan 20-20-20
Telefon pintar, komputer riba dan tablet kini menjadi sebahagian daripada rutin pembelajaran. Walaupun peranti ini memudahkan pelajar mendapatkan maklumat, penggunaan skrin yang berpanjangan boleh menyebabkan keletihan mata digital.
Untuk membantu merehatkan mata, amalkan peraturan 20-20-20:
- Setiap 20 minit membaca atau menggunakan skrin, alihkan pandangan.
- Lihat objek yang terletak kira-kira 20 kaki (enam meter) jauhnya.
- Kekalkan pandangan selama sekurang-kurangnya 20 saat.
Selain itu, pastikan pencahayaan mencukupi, jarak membaca selesa dan silau skrin dikurangkan. Berkelip dengan kerap juga membantu mengekalkan kelembapan mata. Tidur yang cukup dan berehat secara berkala penting untuk menjaga keselesaan mata sepanjang tempoh persediaan peperiksaan.
Jangan tunggu sehingga penglihatan bermasalah
SPM ialah satu fasa penting dalam kehidupan pelajar. Selain menyediakan buku rujukan, jadual ulang kaji dan sokongan emosi, ibu bapa juga wajar memberi perhatian kepada kesihatan penglihatan anak-anak.
Pemeriksaan mata dapat membantu mengenal pasti masalah penglihatan supaya ia boleh ditangani dengan sewajarnya. Penglihatan yang jelas dan mata yang selesa menyokong pembelajaran yang lebih berkesan dan seiring dengan usaha dan persediaan yang rapi.
'Mata Sihat, Fokus Meningkat, Persediaan SPM Lebih Mantap!'
Maklumat penulis:
Penolong Pensyarah Optometri, Management and Science University (MSU), Mohd Ferdaus Sari
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my