Murid-murid SK Terusan bersama tetamu khas dan ahli RAS UiTM SC dalam program kesedaran alam sekitar berkonsepkan didik hibur baru-baru ini.
Murid-murid SK Terusan bersama tetamu khas dan ahli RAS UiTM SC dalam program kesedaran alam sekitar berkonsepkan didik hibur baru-baru ini.

257 murid SK Terusan teruja disantuni program didik hibur warga UiTM

07 Oct 2026 05:08pm

Seramai 257 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan, Lahad Datu, Sabah teruja menyertai program kesedaran alam sekitar berkonsepkan didik hibur yang dibawakan khas oleh mahasiswa Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC) menerusi inisiatif Oceaners Assemble 5.0.

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah Cawangan Tawau ini bertujuan menyampaikan pendedahan awal mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta peranan murid dalam membentuk persekitaran yang lebih lestari bermula daripada diri mereka sendiri.

Kemuncak program menyaksikan keterujaan para murid menerusi acara peragaan fesyen (catwalk) bagi memperagakan pelbagai hasil seni dan kraf tangan yang dihasilkan sendiri menerusi modul Waste2Art.

Berbekalkan kreativiti mengolah pakaian terpakai, murid-murid tampil memperagakan kraf seperti tote bag, kerongsang dan gelang di hadapan rakan-rakan serta guru. 

Azman (kiri) memimpin sesi bacaan ikrar bersama murid-murid berkaitan pengurusan e-waste, sebagai komitmen untuk tidak membuang e-waste sewenang-wenangnya serta mengamalkan pelupusan yang betul dan bertanggungjawab.
Azman (kiri) memimpin sesi bacaan ikrar bersama murid-murid berkaitan pengurusan e-waste, sebagai komitmen untuk tidak membuang e-waste sewenang-wenangnya serta mengamalkan pelupusan yang betul dan bertanggungjawab.

Guru Besar SK Terusan, Mohd Sapihi @ Mohd Safihi berkata, pihaknya berasa bangga serta menghargai usaha para mahasiswa dari UiTM Shah Alam yang memilih sekolah berkenaan sebagai lokasi pelaksanaan program kesedaran tersebut.

"Kunjungan mahasiswa RAS UiTM SC ini merupakan antara pengalaman pertama sekolah menerima kehadiran pelajar universiti bagi menyampaikan pengetahuan berkaitan alam sekitar.

"Program secara langsung dan bersemuka kepada para murid memberi pengalaman baharu kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Penasihat RAS UiTM SC, Ts Nur Ain Mohd Zainuddin, selain modul Waste2Art, program ini turut memperkukuhkan jaringan kerjasama bersama JAS Sabah menerusi Ketua Cawangan Tawau, Zulfifitriah Surdi serta Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Azman Salamon, yang menyampaikan ceramah khas berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Jelasnya lagi, Azman turut memimpin sesi bacaan ikrar e-waste bersama murid-murid sebagai komitmen untuk tidak membuang sisa elektronik sewenang-wenangnya serta mengamalkan pelupusan secara bertanggungjawab. 

Mohd Sapihi (tiga dari kiri) dan Nur Ain (empat dari kanan) bersama tetamu khas.
Mohd Sapihi (tiga dari kiri) dan Nur Ain (empat dari kanan) bersama tetamu khas.

"Bagi memastikan mesej alam sekitar mudah difahami, mahasiswa RAS UiTM SC mengetengahkan pendekatan pembelajaran secara interaktif menerusi USB Ladder iaitu permainan dam ular bertemakan e-waste yang direka khas oleh mahasiswa.

"Pendekatan berasaskan permainan serta penggunaan play-card berilustrasi ini membolehkan murid belajar mengenai amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle), No Single-Use Plastic (NSUP) dan e-waste dalam suasana yang menyeronokkan," katanya baru-baru ini.

Nur Ain memberitahu, pada program tersebut, turut dilaksanakan ialah modul kebersihan diri What is Hygiene? yang mengajar tujuh langkah mencuci tangan dengan betul, di mana para murid turut dihadiahkan sabun buatan sendiri (handmade) sebagai galakan mengamalkan kebersihan harian. 

Nur Ain sedang menyampaikan ucapan pengenalan program.
Nur Ain sedang menyampaikan ucapan pengenalan program.

"Penganjuran program tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada murid sekolah menimba ilmu baharu, malah memberi nilai pembelajaran yang cukup mendalam buat mahasiswa UiTM.

"Pengalaman belajar secara terus di lapangan serta keupayaan membaiki diri menerusi aplikasi praktikal merupakan satu pembelajaran berharga yang tidak mampu diperoleh daripada buku teks mahupun di dalam bilik kuliah," katanya.

Tambahnya lagi, sesi penyampaian sijil penghargaan di SK Terusan turut dihadiri oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Terusan, Hasni Amid dan Pengarah Program, Auni Sakinah Ibrahim. 

Auni Sakinah (kiri) sedang mengadakan sesi 'What Is Hygiene?' yang memberi pendedahan mengenai kepentingan kebersihan diri.
Auni Sakinah (kiri) sedang mengadakan sesi 'What Is Hygiene?' yang memberi pendedahan mengenai kepentingan kebersihan diri.

Penganjuran program ini ujarnya lagi, membuktikan bahawa pendidikan alam sekitar boleh disampaikan secara kreatif, praktikal, dan berimpak tinggi agar mesej kelestarian serta sahsiah diri dapat disemaikan secara berkesan seawal bangku sekolah.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp