
Bakat pelajar perlu dicungkil, diasah...
Pendedahan dunia media bantu bina keyakinan, kemahiran komunikasi pelajar
Bakat pelajar perlu dicungkil agar mereka dapat mengenal pasti kebolehan dan keupayaan yang dimiliki masing-masing.
Itu kata Guru Perpustakaan dan Media, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, Melaka, Marzita Hamzah, 43, ketika ditemu bual Sinar Bestari baru-baru ini.
Menurutnya, kemahiran luar bilik darjah seperti kewartawanan, suntingan dan pengendalian kamera turut penting dalam membantu perkembangan diri pelajar.
"Bukan sekadar buku yang membantu pelajar. Kemahiran luar yang mereka pelajari juga dapat membentuk keyakinan dan mencungkil potensi diri.
"Jadi, apabila dianjurkan Bengkel Kewartawanan Digital TV PSS di Karangkraf, saya melihatnya sebagai peluang terbaik untuk pelajar menimba ilmu daripada pengamal media sekali gus membantu pembangunan TV PSS di sekolah," katanya.

Marzita berkata, ilmu yang diperoleh pelajarnya sepanjang bengkel itu sangat bernilai, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan penyertaan pertama sekolah berkenaan.
"Nasihat saya, hargai ilmu yang diperoleh dan manfaatkannya sebaik mungkin. Kongsikan ilmu itu kepada rakan-rakan yang tidak berkesempatan hadir supaya manfaatnya dapat dirasai bersama," ujarnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Padang Temu, Adam Ahmad, 57, bangga dengan penyertaan hampir 40 pelajar dalam bengkel tersebut yang disifatkannya memberi impak positif.
"Ia bukan sekadar bengkel, sebaliknya membina keyakinan dan kemahiran komunikasi pelajar untuk berani bercakap di hadapan kamera, menemu bual serta berfikir secara spontan.
"Paling penting, mereka mendapat pendedahan kepada suasana industri sebenar menerusi bimbingan pengamal media profesional," katanya.


REAKSI
"Bengkel ini membuka peluang kepada saya untuk mengenali dunia kewartawanan dengan lebih dekat. Pelbagai ilmu baharu yang dikongsikan membuatkan saya semakin berminat untuk menceburi bidang ini dan menjadi wartawan kelak." - Murid Tingkatan Lima, Ainul Sofia Zahayu, 17.
"Sangat menyeronokkan kerana dapat belajar dan mengenali dunia media dengan lebih terperinci. Barulah saya tahu, bukan mudah untuk menjadi seorang wartawan." - Murid Tingkatan Tiga, Nur Damia Jannah A Ismail, 15.

"Saya memang jurukamera sekolah, tetapi bengkel ini membuka mata saya bahawa banyak lagi ilmu yang perlu diteroka. Saya berharap dapat membanggakan sekolah dan negara melalui bidang fotografi." - Murid Tingkatan Dua, Muhammad Qhairy Azim Mohd Fadzly, 14.


