No Image Caption

MCKK: Institusi pendidikan berprestij sejak 1905

19 Nov 2026 05:25pm

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) atau The Malay College Kuala Kangsar merupakan antara institusi pendidikan paling bersejarah dan berprestij di Malaysia.

Ditubuhkan pada 2 Januari 1905, MCKK yang terletak di bandar diraja Kuala Kangsar, Perak merupakan sekolah berasrama penuh pertama di negara ini.

Pada awal penubuhannya, institusi ini dikenali sebagai Malay Residential School of Kuala Kangsar. Idea penubuhannya dicetuskan oleh pegawai pendidikan British, RJ Wilkinson, yang mencadangkan sebuah sekolah khas bagi menyediakan pendidikan kepada anak-anak Melayu, khususnya golongan diraja dan bangsawan.

Cadangan itu mendapat sokongan empat pemerintah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ketika itu, iaitu Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I (Perak), Sultan Alaiddin Sulaiman Shah (Selangor), Tuanku Muhammad Shah (Negeri Sembilan) dan Sultan Ahmad Mu'adzam Shah (Pahang).

MCKK memulakan operasinya dengan seramai 40 orang pelajar perintis dan William Hargreaves dilantik sebagai pengetua pertama.

Pada 11 Disember 1909, bangunan utama yang dikenali sebagai Big School dibuka secara rasmi oleh Sultan Perak, Sultan Idris. Pada tarikh sama, nama sekolah ditukar kepada Malay College Kuala Kangsar.

Seiring perkembangan masa, MCKK bukan sahaja menjadi institusi pendidikan yang melahirkan generasi berilmu, malah terkenal sebagai tempat membentuk kepimpinan, sahsiah dan kecemerlangan pelajar.

Antara tokoh terkenal yang pernah menuntut di MCKK termasuk Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.

Keistimewaan MCKK turut terserlah menerusi barisan alumninya yang berjaya mencipta nama dalam bidang kepimpinan dan politik negara.

Artikel Berkaitan:

Antara bekas pelajar terkenal institusi itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli; Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar pernah menuntut di MCKK dari tahun 1960 hingga 1966, manakala Rafizi pula dari tahun 1990 hingga 1994. Nik Nazmi turut mengikuti pengajian di institusi berkenaan dari tahun 1995 hingga 1999.

Kehadiran tokoh-tokoh ini dalam pelbagai bidang memperlihatkan sumbangan MCKK bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang akademik, malah turut membentuk generasi pemimpin yang memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Institusi ini turut dikenali dengan gelaran Eton of the East, melambangkan reputasi dan tradisi pendidikannya yang tersendiri.

Sehingga kini, MCKK terus mengekalkan kedudukannya sebagai salah sebuah sekolah premier negara dan berada di bawah naungan Majlis Raja-Raja.

 

Sumber: Laman rasmi MCKK, Arkib Negara Malaysia dan Malay College Old Boys Association

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp