Menerusi program TECHventure! - Jelajah Dunia Teknologi Bersama Dekan-Dekan ICT itu, peserta bukan sahaja didedahkan kepada perkembangan teknologi semasa, malah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan barisan pemimpin akademik dalam bidang ICT.
Menerusi program TECHventure! - Jelajah Dunia Teknologi Bersama Dekan-Dekan ICT itu, peserta bukan sahaja didedahkan kepada perkembangan teknologi semasa, malah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan barisan pemimpin akademik dalam bidang ICT.

24 Dekan ICT bimbing pelajar kenali potensi kerjaya teknologi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Oct 2026 12:23pm

Sebanyak 14 kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, Melaka bertukar menjadi ruang penerokaan teknologi apabila 379 pelajar berpeluang mengikuti pembelajaran sains dan teknologi bersama 24 Dekan dan Wakil Dekan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dari 23 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Menerusi program TECHventure! - Jelajah Dunia Teknologi Bersama Dekan-Dekan ICT itu, pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga tersebut bukan sahaja didedahkan kepada perkembangan teknologi semasa, malah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan barisan pemimpin akademik dalam bidang ICT.

Pendedahan secara dekat itu memberi peluang kepada peserta mengenali dunia teknologi di luar bilik darjah, sekali gus membuka minda mereka terhadap potensi pengajian dan kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program anjuran Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka itu berlangsung selama setengah hari, baru-baru ini.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif khidmat masyarakat (CSR) sempena Mesyuarat Majlis Dekan-Dekan ICT Universiti Awam Malaysia (MaDICT) Bil 3/2026 yang dihoskan UTeM di Melaka pada 10 dan 11 September lalu.

Menariknya, setiap kelas dikendalikan seorang Dekan atau Wakil Dekan ICT sebagai penyampai maklumat dengan dibantu seorang fasilitator daripada kalangan pensyarah FTMK UTeM.

Pendekatan interaktif itu membolehkan pelajar meneroka bidang teknologi dalam suasana lebih santai dan dekat dengan dunia mereka, di samping mengenali kepelbagaian peluang pendidikan serta kerjaya yang boleh diceburi pada masa hadapan. 

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Dekan FTMK UTeM, Profesor Ts Dr Mohd Sanusi Azmi berkata, pendedahan awal terhadap bidang STEM penting bagi membentuk aspirasi pendidikan dan kerjaya generasi muda.

"Program ini dirangka khusus untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan STEM, sekali gus membantu mereka membuat pemilihan aliran akademik dengan lebih yakin dan bermaklumat.

"Saya berharap interaksi bersama Dekan-Dekan ICT memberi impak nyata dalam membentuk aspirasi kerjaya pelajar dalam bidang teknologi, seterusnya melahirkan lebih ramai bakal peneraju teknologi negara," katanya.

Sementara itu, program turut menyaksikan pelancaran rasmi TECHventure! yang disempurnakan Pengerusi MaDICT, Profesor Ts Dr Mohd Naz’ri Mahrin dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerusi penandatanganan plak akrilik.

Sebagai kesinambungan pembelajaran, setiap pelajar turut menerima kit pembelajaran yang membolehkan mereka meneruskan penerokaan STEM selepas program berakhir.

Kit berkenaan ditaja sepenuhnya menerusi komponen Young Engineers Explorers Programme (YEEP) di bawah Program Tuisyen STEM, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam pada itu, Pengarah Program TECHventure!, Ts Dr Zuraini Othman berkata, program tersebut digerakkan oleh 14 pensyarah FTMK yang bertindak sebagai fasilitator di setiap kelas dengan sokongan Ahli Jawatankuasa Pelaksana FTMK.

Katanya, pendekatan tersebut membolehkan pelajar mendapat pendedahan lebih dekat terhadap bidang ICT, selain melihat sendiri kepelbagaian peluang yang tersedia dalam bidang teknologi.

Pada masa sama, program berkenaan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp