
Fiesta STEM TVET 2026 semarak minat murid teroka dunia teknologi & kemahiran
Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam membentuk murid yang kreatif, inovatif dan berkemahiran, selaras dengan keperluan dunia yang semakin berkembang pesat.
Pendedahan awal terhadap kedua-dua bidang ini bukan sahaja membantu murid memahami aplikasi ilmu dalam kehidupan seharian, malah membuka ruang kepada mereka untuk meneroka minat, mengenal pasti potensi diri dan merancang hala tuju kerjaya pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Fiesta STEM TVET 2026 Peringkat Negeri Selangor dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk menyemarakkan minat murid terhadap bidang berkenaan menerusi pelbagai aktiviti pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Berlangsung di Arena Sarjana, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi, Klang, Selangor dan dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit TVET, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Nor Hisam Mohd Khalif, fiesta menghimpunkan warga sekolah bersama-sama wakil murid dan guru daripada 10 sekolah jemputan lain.
Sebanyak 15 reruai pameran interaktif turut disediakan bagi memberi peluang kepada pengunjung mendekati pelbagai bidang ilmu, teknologi dan kemahiran secara lebih praktikal.

Antara pempamer yang mengambil bahagian ialah Sinar Bestari, Creative Robotics (CR8) Bandar Botanic dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Setiap reruai menawarkan pengisian dan aktiviti tersendiri yang membolehkan murid memperoleh pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah, sekali gus merangsang rasa ingin tahu serta menggalakkan mereka meneroka sesuatu bidang dengan lebih mendalam.


