
PETAH KPM perkasa bahasa, raikan kepelbagaian bakat murid
Pertandingan PETAH Kementerian Pendidikan (KPM) menjadi platform memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi pelbagai pertandingan yang mengasah kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keterampilan berbahasa.
Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr Zanariah Ibrahim berkata, penganjuran program itu selaras dengan matlamat dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang turut menekankan pembentukan perpaduan dalam kalangan warga KPM.
Beliau berkata, sepanjang empat hari penganjuran PETAH KPM 2026 yang bermula Isnin lepas, program itu berjaya menarik penyertaan bukan sahaja murid, malah guru, pensyarah, pegawai KPM dan ibu bapa.
"Sepanjang empat hari ini, apa saya nampak, matlamat yang kita sasarkan itu tercapai. PETAH KPM bukan sahaja mendapat sambutan daripada murid, pegawai, guru dan pensyarah, malah turut menerima sokongan ibu bapa.

"Penganjuran ini bukan sekadar platform pertandingan, tetapi turut memperlihatkan keterampilan warga KPM daripada pelbagai lapisan dalam penguasaan bahasa, kepetahan bertutur dan keupayaan menzahirkan pemikiran secara kritis," katanya selepas majlis penutupan PETAH KPM.
PETAH KPM 2026 adalah platform strategik Dasar MBMMBI secara holistik, yang menekankan kecekapan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu seiring bagi memupuk budaya komunikasi dengan fasih dan beradab merentas pelbagai kaum.
Sebanyak 16 pertandingan kebahasaan seperti debat, pidato, pengucapan awam dan bicara berirama turut diadakan sepanjang PETAH KPM 2026.
Dr Zanariah berkata, antara penambahbaikan pada penganjuran tahun ini berbanding tahun lepas ialah penambahan pertandingan debat bahasa Inggeris, pidato bagi murid sekolah rendah dan menengah serta pengucapan awam.
"PETAH KPM ini menjadi pelengkap kepada keberhasilan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas, selain menjadi platform untuk memperlihatkan keberhasilan kurikulum bahasa kita," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penglibatan murid daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dalam pertandingan seperti bicara berirama dan pidato turut mencerminkan usaha memupuk perpaduan menerusi bahasa.

Dr Zanariah berkata, PETAH KPM tahun ini turut memberi ruang kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk mengetengahkan bakat mereka menerusi persembahan.
Beliau berkata, peluang itu penting bagi memperlihatkan bahawa murid berkeperluan pendidikan khas juga mempunyai potensi dan kebolehan yang wajar diiktiraf, termasuk dalam bidang muzik, persembahan dan komunikasi.
"Sebenarnya, mereka juga ada keupayaan dalam potensi kecerdasan mereka sendiri. Kadang kala murid ini (PPKI) dia petah berbicara walaupun belajarnya mungkin sederhana, tapi kita boleh nampak kepetahan bertutur dan sebagainya untuk mencapai matlamat dasar MBMMBI sebenarnya," katanya.
Bertemakan 'Seni Berbahasa Wahana Perpaduan MADANI', PETAH KPM menegaskan peranan bahasa sebagai jiwa bangsa, alat penyatuan masyarakat dan wahana melahirkan generasi berilmu, beradab, kreatif serta berpaksikan nilai MADANI.

Inisiatif PETAH KPM berfungsi sebagai pemangkin praktikal dalam merealisasikan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dengan membentuk karakter murid yang beradab menerusi pengucapan bertatasusila, merangsang pemikiran kritis dan kreatif melalui ekspresi dan hujah yang bernas.
Selain itu, ia juga memantapkan literasi komunikasi global berbekalkan penguasaan tatabahasa dan artikulasi sempurna, demi melahirkan generasi 'Insan Sejahtera' yang holistik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. - Bernama