
Murid bijak digital perlu kuatkan diri
Internet ibarat dunia tanpa sempadan, hanya di hujung jari, murid boleh belajar, berkomunikasi, mencari maklumat malah meneroka pelbagai perkara baharu.
Bagaimanapun, di sebalik kemudahan itu, dunia digital turut hadir dengan pelbagai kemungkinan yang tidak semuanya selamat.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda, Mohamad Hazli Hassan berkata, apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang dan mampu mempengaruhi cara maklumat dihasilkan dan disebarkan.
Menurutnya, pendedahan keselamatan internet sejak usia sekolah amat penting bagi membekalkan murid dengan pengetahuan untuk menjadi pengguna digital yang bijak dan bertanggungjawab.
"Program seperti Kempen Internet Selamat daripada MCMC memberi makna besar kepada murid, khususnya mereka yang sedang mula mengenali dunia internet dengan lebih dekat.

"Murid perlu dilengkapi ilmu berkaitan keselamatan dan etika penggunaan internet supaya tidak mudah terpengaruh, tergelincir atau menjadi mangsa penyalahgunaan teknologi.
"Yang penting ialah etika penggunaan internet dan kewarganegaraan digital. Kita mahu membina kekuatan itu dalam diri murid sendiri supaya mereka mampu menapis dan menentukan mana yang baik dan tidak baik daripada internet," katanya.
Tambah Mohamad Hazli, penguatkuasaan undang-undang penting, namun kekuatan dalaman murid membuat pertimbangan sendiri menjadi benteng utama ketika berada di alam maya.
"Aspek keselamatan juga perlu diberi perhatian di sekolah menerusi kawalan penggunaan peranti dan sistem internet yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Melihat sambutan positif murid, saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah lain," ujarnya.
