
Guru Cemerlang Pendidikan Islam cipta kejutan, karya video pendek diiktiraf antarabangsa!
Keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu akhirnya membawa hasil manis buat seorang pendidik dari Kelantan apabila karya video pendeknya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Guru Cemerlang Pendidikan Islam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kandis, Kelantan, Ustazah Yusliza Kamarudin berjaya meraih Honourable Mention (Short Film) menerusi karya berjudul Warisan Yang Perlahan Hilang dalam pertandingan Sultan Mizan International Photography Awards 2025 (SMIPA).
Difahamkan, pengiktirafan itu merupakan pengalaman pertama Ustazah Yusliza menyertai pertandingan berprestij tersebut.
Berkongsi kisah di sebalik kejayaan itu menerusi Facebook, Ustazah Yusliza berkata, penyertaannya bermula dengan galakan seorang guru pembimbing, Benaz, yang menyarankannya menghantar video pendek hasil karya mereka ke pertandingan berkenaan.
Menurutnya, ketika penyertaan dihantar, tarikh tutup pertandingan sebenarnya sudah berlalu, namun rezeki menyebelahinya apabila penyertaan itu masih diterima sehingga akhirnya membuahkan hasil yang cukup bermakna.

"Walaupun bukan pemilik hadiah utama, pencapaian ini tetap menjadi satu kebanggaan yang sangat besar buat saya.
"Bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang keberanian mencuba, kepercayaan terhadap kemampuan diri dan semangat menghasilkan karya bersama insan-insan hebat," kongsinya.
Jangan tunggu hebat untuk bermula
Bagi Ustazah Yusliza, pengalaman itu mengajarnya bahawa seseorang tidak perlu menunggu sehingga dirinya benar-benar mahir atau hebat untuk memulakan sesuatu.
Sebaliknya, keberanian mengambil langkah pertama menjadi kunci untuk membuka peluang kepada pengalaman dan pencapaian baharu.
"Saya mungkin bukan pembikin filem profesional. Saya hanyalah seorang pendidik yang sentiasa ingin belajar, meneroka teknologi, berkarya dan mencabar potensi diri," katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa minatnya terhadap pendidikan digital, fotografi, videografi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) mendorongnya untuk terus belajar serta meneroka pelbagai ruang kreatif.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Facebook memaklumkan, kejayaan Ustazah Yusliza membuktikan bahawa kreativiti, inovasi dan penguasaan teknologi digital dalam kalangan pendidik mampu menyerlah hingga ke pentas antarabangsa.
"Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidik Kelantan untuk terus berkarya, berinovasi dan mengharumkan nama pendidikan negeri di persada dunia," kongsi hantaran itu.

Terdahulu, majlis penganugerahan SMIPA 2025 berlangsung pada 19 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu dan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Pemangku Raja Terengganu.
Pertandingan berkenaan menghimpunkan lebih 200 peserta dengan 385 karya dipertandingkan termasuk penyertaan dari luar negara.