
SMK Putrajaya Presint 8(1) rai 25 tahun kecemerlangan pendidikan
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) bakal menandakan perjalanan 25 tahun penubuhannya menerusi pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah murid dan pengukuhan hubungan antara sekolah dengan komuniti.
Sekolah yang lebih dikenali sebagai 8One itu ditubuhkan pada tahun 2000 dan sepanjang tempoh tersebut, terus membina reputasi menerusi usaha warga pendidik, sokongan ibu bapa serta penglibatan komuniti dalam pembangunan pendidikan.
Sempena sambutan Jubli Perak itu, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merancang beberapa program, termasuk aktiviti sukan dan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana untuk menyokong keperluan pembangunan sekolah.
Pengetua SMK Putrajaya Presint 8(1), Nur Asmara Diana Abdullah berkata, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyokong pelbagai keperluan sekolah termasuk penambahbaikan kemudahan fizikal, kebajikan serta pelaksanaan program kecemerlangan murid.

Menurutnya, sambutan ulang tahun ke-25 itu bukan sekadar memperingati sejarah penubuhan sekolah, malah menjadi ruang menghargai sumbangan semua pihak yang memainkan peranan dalam membentuk kejayaan institusi berkenaan.
"Jubli Perak melambangkan 25 tahun pengorbanan, kejayaan dan kenangan yang telah dicapai. Sambutan ini juga merupakan penghormatan kepada sejarah serta penghargaan buat semua pihak yang pernah menyumbang bakti di sekolah ini," katanya.
Antara program yang dirancang ialah 8One Fun Run Jubli Perak pada 14 November 2026 di sekitar Presint 8, diikuti Kejohanan Golf Amal 8One Jubli Perak pada 15 November 2026 di Bukit Unggul Golf & Country Club.
Rangkaian program itu akan diteruskan dengan Majlis Makan Malam Amal Pesona Jubli Perak 8One pada 5 Disember 2026 di The Everly Putrajaya.

Penaung Majlis Pesona Jubli Perak 8One, Tan Sri Datuk Seri Dr Aseh Che Mat, yang pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua PIBG sekolah itu berkata, beliau berasa bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada perjalanan institusi berkenaan.
Beliau turut menyaksikan kerjasama antara guru, ibu bapa dan murid yang membantu meningkatkan pencapaian serta nama baik sekolah sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Manakala Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya, Nadimin Abdul Aziz menzahirkan rasa bangga terhadap perjalanan sekolah berkenaan dan pencapaiannya di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Beliau berharap kerjasama antara warga sekolah, alumni, ibu bapa dan komuniti akan terus diperkukuh bagi memastikan usaha meningkatkan mutu pendidikan dapat diteruskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato' Malaysia (DPDDM), Datuk Dr Nor Hasnal Hashmi menyumbangkan RM30,000 sempena sambutan Jubli Perak berkenaan.
Sumbangan turut diterima daripada Trendztok Creative Sdn Bhd berjumlah RM10,000 sebagai media digital rasmi dan Ultra Blue sebanyak RM3,000 bagi menyokong program 8One Fun Run.
Sokongan daripada pelbagai pihak itu mencerminkan peranan kerjasama antara sekolah, ibu bapa, alumni dan komuniti dalam membantu memenuhi keperluan pendidikan serta pembangunan murid.