
Bangunan baharu SK Nanga Temalat bawa harapan kepada 94 murid
Setelah sekian lama berdepan cabaran banjir, warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat, Sarawak kini mempunyai bangunan baharu yang lebih selamat dan selesa, sekali gus membawa harapan baharu kepada 94 muridnya untuk menimba ilmu dan mengejar cita-cita.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembangunan semula sekolah itu bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal lebih baik, malah memberi ketenangan kepada ibu bapa yang mengharapkan persekitaran pembelajaran kondusif untuk anak-anak mereka.
"Bagi ibu bapa, melihat anak-anak belajar dalam suasana yang selamat dan selesa cukup besar maknanya.
"Harapan inilah yang mahu kita tunaikan buat warga Nanga Temalat, agar anak-anak mereka mendapat permulaan yang baik untuk membina masa depan," katanya menerusi hantaran Facebook.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu sekolah berkenaan yang dibangunkan menerusi Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak.
Beliau berkata, projek yang siap pada 18 September itu menyediakan blok pentadbiran empat tingkat, dua blok berek berkembar jenis C serta asrama lelaki dan perempuan yang masing-masing mampu menempatkan 30 penghuni.
Kemudahan berkenaan bakal memberi manfaat kepada 94 murid termasuk prasekolah, dengan 28 daripadanya merupakan penghuni asrama, selain 17 guru.
Nanta berharap kemudahan baharu itu dapat membantu guru melaksanakan tugas dengan lebih berkesan, di samping menyuntik semangat murid untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
"Kepada anak-anak SK Nanga Temalat, teruskan belajar bersungguh-sungguh dan berani mengejar impian!," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, JKR Bahagian Kapit, kontraktor serta semua pihak yang menjayakan projek berkenaan. - Bernama