
Bilik Nuklear SePUTERI perkasa pembelajaran STEM murid
Bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuchoh Puteri, Kuala Krai, Kelantan kini diubah suai menjadi hab sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), menerusi inisiatif Agensi Nuklear Malaysia selepas sekolah itu dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI (SAM) 2026.
Agensi Nuklear Malaysia dalam kenyataan memaklumkan hab yang dinamakan Bilik Nuklear SePUTERI itu, bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan pemikiran kritis dan penerokaan ilmu STEM, khususnya dalam bidang nuklear.
Selain pengubahsuaian bilik darjah, sekolah berkenaan turut menerima tiga unit televisyen pintar, bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

Inisiatif itu juga merangkumi program peningkatan kemahiran digital dan teknologi maklumat dan komunikasi untuk guru, selain program kesedaran mengenai buli dan salah laku seksual dalam kalangan murid.
"Program daripada inisiatif kerajaan MADANI kali ini adalah mewujudkan ekosistem pembelajaran yang mendorong pembinaan daya fikir dan idea berasaskan ilmu STEM khususnya dalam bidang nuklear," menurut kenyataan itu.
Agensi Nuklear Malaysia turut menganjurkan Karnival STEM Peringkat Daerah Kuala Krai bagi menyokong usaha pembangunan bakat dan melahirkan generasi berkemahiran tinggi serta berdaya saing.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 dalam menyediakan bakat yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya dalam sektor teknologi nuklear.
Agensi itu berharap kerjasama dengan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta komuniti setempat dapat diteruskan bagi memastikan manfaat program berkenaan dinikmati secara berterusan.
Terdahulu, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin menyempurnakan gimik penanaman pokok chucoh sempena Majlis Perasmian SAM Agensi Nuklear Malaysia dan Karnival STEM di SK Chuchoh Puteri. - Bernama