
Guru bangunkan modul Literasi, Numerasi untuk murid Pos Brooke
Guru di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan membangunkan Modul 'Yek Chen Belajar' Literasi dan Numerasi bagi menyokong pembelajaran murid menerusi inovasi pendidikan dengan bimbingan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Profesor Dr Bariah Mohd Ali berkata, pembangunan modul itu adalah antara inisiatif di bawah komponen Sekolah Angkat MADANI yang dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat MADANI di Pos Brooke.
Beliau berkata, selain pembangunan modul, UKM turut melaksanakan bengkel pemantapan guru bagi menyokong usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.
"Pembangunan Modul 'Yek Chen Belajar' Literasi dan Modul 'Yek Chen Belajar' Numerasi merupakan inovasi pendidikan berimpak tinggi hasil usaha guru di bawah bimbingan Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-Kom) UKM," katanya.
Bariah berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI UKM di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kecil Pos Brooke, Jabatan Kemajuan Orang Asli Lojing.
Bariah berkata, menerusi komponen Sekolah Angkat MADANI, UKM turut melaksanakan kerja pembinaan dan menaik taraf kemudahan fizikal bernilai RM100,000 di sekolah itu, termasuk dataran sekolah, pusat sumber serta bilik darjah yang dilengkapi dengan televisyen dan tablet pintar bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran interaktif.
Pelaksanaan program berkenaan, katanya, mencerminkan komitmen UKM dalam memperkasakan komuniti menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan dan kepimpinan daerah.
Beliau berkata, hasil pelaksanaan Komuniti@UniMADANI di Pos Brooke akan dibentangkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri bagi penilaian impak secara mampan.
Bariah berharap program berkenaan dapat menyokong pembangunan pendidikan dan sosioekonomi masyarakat Orang Asli di Pos Brooke, di samping menggalakkan generasi muda menguasai teknologi dan kemahiran moden tanpa mengetepikan adat, budaya serta identiti warisan suku Temiar. - Bernama