Kemenangan Sir Asai melayakkan beliau membawa nama Malaysia ke pentas TikTok Awards Southeast Asia di Bali, Indonesia pada 27 November ini. Foto: Facebook Sir Asai
Kemenangan Sir Asai melayakkan beliau membawa nama Malaysia ke pentas TikTok Awards Southeast Asia di Bali, Indonesia pada 27 November ini. Foto: Facebook Sir Asai

Sir Asai cipta kejutan, bakal harumkan Malaysia di pentas Asia!

11 Nov 2026 03:32pm

Nama Sir Asai mungkin sudah tidak asing lagi dalam kalangan warga pendidik, khususnya mereka yang mengikuti perkembangan kandungan pendidikan di media sosial.

Di sebalik nama popular itu, figura bernama Cikgu Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim ini sebenarnya seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar 2, Kelantan.

Namun, apa yang membuatkan beliau cukup dikenali adalah kreativiti menghasilkan kandungan pendidikan digital yang bukan sahaja menarik perhatian, malah berjaya mendekatkan ilmu kepada masyarakat.

Terbaharu, usaha dan kreativiti Sir Asai sekali lagi mendapat perhatian apabila beliau memenangi kategori TikTok Education Creator of the Year.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa nama Malaysia ke pentas TikTok Awards Southeast Asia yang bakal berlangsung di Bali, Indonesia pada 27 November ini.

Berita kejayaan tersebut nyata mengundang kegembiraan dalam kalangan warga pendidik yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepadanya.

Ramai melihat pengiktirafan itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna kerana Sir Asai berjaya membuktikan bahawa perkongsian ilmu boleh dilakukan dengan cara yang kreatif dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

Pastinya, pencapaian demi pencapaian ini menjadi satu perjalanan manis buat Sir Asai yang membawa tanggungjawab sebagai seorang guru, tetapi pada masa sama tidak takut mencuba sesuatu di luar kebiasaan.

Ayuh, rakyat Malaysia!

Sama-sama kita berikan sokongan dan mendoakan agar Sir Asai yang juga salah seorang daripada lima Finalis Teratas Malaysia Teacher Prize 2023, berjaya mengharumkan nama negara serta membawa pulang kejayaan di pentas TikTok Awards Southeast Asia nanti.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp