
STEM Hub buka peluang murid teroka dunia teknologi
Siapa kata peluang meneroka teknologi moden hanya terbuka kepada murid di sekolah bandar?
Kini, anak-anak di kawasan luar bandar juga berpeluang merasai pengalaman menggunakan teknologi seperti pencetakan tiga dimensi (3D), laser engraving dan reka bentuk digital menerusi pembangunan STEM Hub Zon Utara di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Chenderong Balai, Perak.
Menariknya, pusat ini bukan sekadar menyediakan kemudahan teknologi, malah menjadi ruang untuk murid mencuba idea, menghasilkan ciptaan sendiri dan belajar melalui pengalaman sebenar.
Inisiatif berkenaan direalisasikan menerusi penganjuran Karnival Digital STEMX dan Pelancaran STEM Hub Zon Utara yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datin Haryati Mohamed Razali.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah, Pusat Pendidikan STEM, BPPDP, Dr Lay Ah Nam dan Dr Norazlilah Md Nordin daripada pusat yang sama.
Turut hadir wakil Jabatan Pendidikan Negeri Perak daripada Sektor Pembelajaran serta Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan.

Di sebalik usaha tersebut, terdapat individu yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian berkenaan iaitu Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan merangkap Penyelaras PKG Chenderong Balai, Zurina Kamaruddin.
Menurut Zurina, idea membangunkan STEM Hub bermula apabila beliau membentangkan cadangan menerusi sesi pitching kepada Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Moktar Wahid, wakil Yayasan PETRONAS serta BPPDP, KPM.
Daripada idea yang dibentangkan, usaha perancangan dan pembangunan mula digerakkan bagi mewujudkan sebuah ruang pembelajaran yang memberi peluang kepada guru serta murid meneroka dunia STEM dengan lebih dekat.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk teknologi pencetakan 3D, laser engraving dan reka bentuk digital yang membolehkan murid menghasilkan pelbagai bahan serta produk kreatif.
Menerusi kemudahan ini, murid bukan sekadar belajar melalui buku teks atau mendengar penerangan guru, sebaliknya berpeluang mencuba sendiri proses menghasilkan sesuatu produk.
Mereka boleh bermula dengan satu idea, membuat reka bentuk, menguji kreativiti dan melihat bagaimana idea tersebut diterjemahkan menjadi hasil sebenar.
Penghasilan STEM Hub Signature Kit turut menjadi antara usaha memperkenalkan bahan pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif untuk kegunaan pendidikan.

Murid jadi pembentang, bukan sekadar pengunjung
Kemeriahan Karnival Digital STEMX turut memperlihatkan keupayaan murid apabila mereka diberi peluang menjadi pembentang untuk menerangkan hasil projek dan inovasi masing-masing kepada tetamu kehormat serta wakil industri.
Menerusi aktiviti itu, murid bukan sahaja dapat berkongsi hasil kreativiti, malah berpeluang melatih keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi.
Pelbagai pameran serta demonstrasi turut diadakan dengan mengetengahkan teknologi digital, kelestarian alam sekitar, reka bentuk kreatif dan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Malah, suasana karnival turut diserikan dengan persembahan muzik kumpulan band The Sigmas yang dianggotai guru dan murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manik.
Persembahan itu memperlihatkan bahawa kreativiti dan bakat murid boleh berkembang dalam pelbagai bidang, bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik.

Peluang sama rata untuk anak desa
Kewujudan STEM Hub Zon Utara diharap dapat menjadi pusat rujukan dan perkongsian ilmu kepada sekolah-sekolah, khususnya di daerah Hilir Perak dan kawasan sekitarnya.
Lebih penting, kemudahan ini membuka ruang kepada guru untuk memperkenalkan pengalaman pembelajaran baharu yang lebih kreatif dan menyeronokkan kepada murid.

Usaha tersebut juga seiring dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital KPM dalam memperkukuh kemahiran digital murid serta meningkatkan keupayaan pendidik menggunakan teknologi dalam pengajaran.
Apa yang pasti, lokasi sekolah bukan penghalang untuk murid meneroka dunia teknologi dan mencipta sesuatu yang membanggakan.
Daripada Chenderong Balai, anak-anak desa kini mempunyai ruang untuk mencuba, berkarya dan membuktikan bahawa mereka juga mampu menjadi pencipta inovasi masa hadapan.
