Persiapan berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana KPM Bil. 1/2026 yang turut melibatkan Pengarah Pendidikan Negeri serta agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Persiapan berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana KPM Bil. 1/2026 yang turut melibatkan Pengarah Pendidikan Negeri serta agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menjelang SPM 2026, keselamatan dan kelancaran peperiksaan jadi keutamaan KPM

13 Nov 2026 04:54pm

Tarikh 23 November semakin menghampiri dan ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 kini berada di fasa akhir persiapan sebelum menghadapi peperiksaan bertulis.

Ketika calon sibuk mengulang kaji pelajaran dan memperkemas persediaan, satu lagi perkara menjadi perhatian iaitu kemungkinan gangguan akibat Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Menyedari cabaran yang mungkin berlaku sepanjang musim tengkujuh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan calon, guru dan seluruh warga pendidikan serta kelancaran peperiksaan awam, khususnya SPM 2026.

Menerusi perkongsian di media sosial pada Khamis, KPM memaklumkan beberapa langkah telah dirancang, termasuk pengoperasian Bilik Gerakan Banjir KPM, pelaporan situasi sebanyak tiga kali sehari dan pembugaran sistem i-Bencana kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Lembaga Peperiksaan turut mengemas kini Garis Panduan Operasi Khas Pengurusan Bencana dan Krisis Semasa Peperiksaan (Edisi Semakan 2026).

"Garis panduan itu merangkumi enam operasi khusus, iaitu Ops Payung, Ops Topeng, Ops Wabak, Ops Tebuk, Ops Gempa dan Ops Bom," kongsinya dalam satu hantaran.

Untuk info, calon SPM 2026 akan memulakan peperiksaan bertulis dengan mata pelajaran Bahasa Melayu pada 23 November, melibatkan Kertas 1, 2 dan 4.

Peperiksaan Bahasa Inggeris pula dijadualkan berlangsung pada 24 November, turut melibatkan Kertas 1, 2 dan 4.

Buat semua calon SPM 2026, gunakan baki masa yang ada sebaik mungkin untuk mengulang kaji, membuat persediaan dan menjaga kesihatan.

Semoga segala usaha dan pengorbanan selama ini membuahkan hasil.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp