
Inovasi E-MISHKĀT menyerlah, dua anugerah berjaya dirangkul di Gombak!
Tiga guru dari Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Tua Baru, Batu Caves, Selangor berjaya membangunkan inovasi digital E-MISHKĀT, sekali gus meraih Anugerah Emas dan Anugerah Penulisan Terbaik dalam pertandingan inovasi peringkat daerah Gombak, Selangor, baru-baru ini.
Difahamkan, E-MISHKĀT mentransformasikan kaedah merekod kehadiran murid daripada penggunaan buku rekod konvensional kepada sistem digital yang lebih pantas, mudah dan sistematik.
Inovasi ini membolehkan guru merekod kehadiran harian, menyemak maklumat murid, mengurus status ketidakhadiran serta menjana laporan bulanan tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada catatan manual.
Sistem berkenaan boleh diakses melalui komputer, komputer riba dan telefon pintar yang mempunyai capaian internet, sekali gus membantu menjimatkan masa serta memudahkan urusan pengurusan kehadiran murid.
Inovasi tersebut dibangunkan oleh Muhammad Fawwaz Yuspani, Umar Luqman Sufi Mohammad Shokri dan Abid Qinawi Zakaria, dengan sokongan pihak pentadbiran sekolah.

Penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Mohammad Marzohrin Abdul Malek menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti keupayaan guru sekolah agama menerajui transformasi digital pendidikan.
"Pencapaian ini membuktikan bahawa guru sekolah agama bukan sekadar penyampai ilmu, malah mampu mencipta penyelesaian digital yang memudahkan urusan pengurusan sekolah serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan pendidikan," katanya dalam satu kenyataan.
Guru Besar, Lily Aznely Azaharudin pula menzahirkan rasa bangga terhadap kreativiti dan komitmen mereka dalam menghasilkan inovasi yang memenuhi keperluan sebenar sekolah.
"Peralihan daripada penggunaan buku rekod kepada sistem digital merupakan langkah positif dalam mengurangkan beban tugas perkeranian guru. Inovasi ini diharapkan dapat membantu guru mengurus kehadiran murid dengan lebih mudah, cepat dan teratur," katanya.
Sementara itu, Pembimbing Kumpulan Inovasi E-MISHKĀT, Ustazah Munera Hashim memaklumkan bahawa kekuatan sesuatu inovasi terletak pada keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar melalui pendekatan yang praktikal.
"Inovasi bukan sekadar mencipta produk baharu, tetapi mentransformasikan amalan sedia ada kepada penyelesaian yang lebih berkesan.
"E-MISHKĀT memperlihatkan bagaimana proses manual menggunakan buku boleh dipermudah melalui pendigitalan, sekali gus berpotensi menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan tugas guru," jelasnya.
Kejayaan E-MISHKĀT membuktikan bahawa transformasi digital pendidikan boleh bermula daripada masalah kecil yang dihadapi guru setiap hari, seterusnya diterjemahkan menjadi inovasi yang berpotensi memberi manfaat kepada pengurusan sekolah agama.