No Image Caption

Dua jaguh kod wakili Malaysia

Ajwad dan Aydan bakal berentap dengan juara 11 negara pada Peringkat Akhir Antarabangsa IECC 2026 di Singapura

19 Nov 2026 01:57pm

Dua murid Malaysia bakal membawa cabaran negara ke peringkat antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara kebangsaan Pertandingan Pengekodan Alam Sekitar Antarabangsa (IECC) 2026.

Mereka ialah Muhammad Ajwad Muhammad Luqman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam, Selangor dan Aydan Daniyal Mohd Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, Bintulu, Sarawak.

Kedua-duanya bakal mewakili Malaysia ke Peringkat Akhir Antarabangsa IECC 2026 yang berlangsung di NTU@one-north, Singapura dari 27 hingga 29 November ini.

Kejayaan itu diraih selepas mereka muncul juara dalam kategori Pengekodan Berasaskan Blok menggunakan Scratch (umur tujuh hingga 12 tahun) dan Pengekodan Berasaskan Teks menggunakan Roblox (umur 13 hingga 17 tahun).

Pertandingan peringkat kebangsaan yang berlangsung di Wisma Pelangi, Bandar Baru Bangi pada 14 November lalu itu, menghimpunkan sejumlah 14 finalis dari Selangor, Pahang, Sarawak dan beberapa negeri lain.

Daripada jumlah tersebut, 10 peserta bersaing dalam kategori Scratch, manakala empat lagi bertanding menerusi kategori Roblox.

Kesemua finalis berjaya melayakkan diri selepas melepasi peringkat saringan dalam talian yang berlangsung dari Ogos hingga Oktober lalu, membabitkan 220 peserta dari lebih 30 sekolah di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Koding Next Group, Mateusz Rybinski berkata, kesemua finalis hadir dengan projek yang berfungsi serta idea tersendiri untuk menjadikan bandar mereka lebih baik. Beliau menyifatkan Ajwad dan Aydan menyerlah menerusi kreativiti serta hasil projek yang dipersembahkan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pelangi Publishing Group Berhad, Sum Lih Kang berkata, pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah pertandingan berkenaan yang membuka ruang kepada murid mengaplikasikan kreativiti dan kemahiran digital dalam menghasilkan penyelesaian ke arah komuniti lebih mampan.

No Image Caption

Cabaran membina bandar mampan

Edisi 2026 yang memasuki tahun kedua penganjurannya di Malaysia itu mengetengahkan tema Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 11, iaitu Bandar dan Komuniti Mampan.

Menerusi tema itu, peserta dicabar menggunakan kemahiran pengekodan untuk menghasilkan idea dan penyelesaian yang menjadikan bandar lebih inklusif, selamat, berdaya tahan serta mampan.

Pertandingan anjuran Koding Next Malaysia Sdn Bhd itu merupakan sebahagian daripada program antarabangsa yang membabitkan 11 negara.

Selain peluang mewakili negara, keenam-enam pemenang bagi kedua-dua kategori turut menerima biasiswa pembelajaran selama satu penggal di Koding Next Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp