No Image Caption

KPM tegas, tiada kompromi!

19 Nov 2026 04:30pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya perkara itu terbukti dalam siasatan berhubung kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak, pada Rabu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan, pihaknya memandang serius kejadian itu dan telah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta telus.

Menurut beliau, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik pula dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi Khamis, bagi membantu mengenal pasti punca sebenar kematian.

Dalam perkembangan sama, beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu kelancaran siasatan.

Fadhlina turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah itu bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan tatacara keselamatan.

Beliau berkata, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) juga telah berada di lokasi bagi menyelaras tindakan segera susulan kejadian itu.

Bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan emosi warga sekolah terus diberikan perhatian, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November. Bantuan psikososial turut disediakan kepada mereka yang terkesan.

Dalam pada itu, Fadhlina menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kehilangan seorang anak sebagai satu dugaan yang amat berat buat keluarga.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, selain menghormati privasi keluarga mangsa.

KPM, katanya, akan memastikan segala tindakan susulan diberikan perhatian sewajarnya dan meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp