
MSU terus mengukuhkan kedudukan global dalam THE World University Rankings 2027
Management and Science University (MSU) terus mengukuhkan kedudukannya di pentas pendidikan tinggi global apabila melonjak ke kelompok 501-550 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027.
Pencapaian ini menandakan peningkatan untuk tahun ketiga berturut-turut, selepas MSU berada dalam kelompok 801-1,000 dunia pada 2025 dan meningkat ke kelompok 601-800 pada 2026, sebelum mencatat lonjakan terbaharu ke kelompok 501-550 pada 2027.
Penarafan THE WUR 2027 menilai 2,297 institusi pendidikan tinggi dari 118 negara, menjadikan pencapaian MSU sebagai satu lagi pengiktirafan terhadap prestasi dan daya saing institusi di peringkat antarabangsa.
THE WUR yang berpangkalan di United Kingdom merupakan sistem penarafan universiti berteraskan penyelidikan yang menilai lima indikator utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.
MSU menduduki tempat kesembilan daripada 32 institusi pendidikan tinggi yang dinilai dalam kedudukan keseluruhan di Malaysia.
Dalam kalangan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di Malaysia, MSU berada di tempat ketiga, manakala bagi indikator Pandangan Antarabangsa, MSU turut menduduki tempat ketiga di Malaysia, sekali gus mencerminkan keupayaan institusi pendidikan tinggi Malaysia untuk terus menyerlah dalam landskap pendidikan global yang semakin kompetitif.
"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MSU dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak, inovasi serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), sekali gus menghasilkan impak bermakna yang melangkaui universiti dan menyumbang kepada masyarakat serta komuniti global," kata Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.
Beliau menambah bahawa kedudukan tahun ini meletakkan MSU di tempat ke-45 dunia bagi indikator Pandangan Antarabangsa, sekali gus mencerminkan penglibatan MSU di peringkat antarabangsa.
Prestasi kukuh
Universiti turut mencatatkan prestasi kukuh dalam beberapa indikator penarafan lain dengan menduduki tempat keenam di Malaysia bagi Kualiti Penyelidikan dan tempat kesembilan bagi Pengajaran.
MSU turut merekodkan prestasi memberangsangkan bagi indikator Pandangan Antarabangsa dengan skor 94.3 peratus, diikuti Kualiti Penyelidikan sebanyak 70.2 peratus.
THE WUR 2027 menyaksikan MSU berada pada kedudukan ke-3 bagi Pandangan Antarabangsa, ke-6 bagi Kualiti Penyelidikan serta ke-9 bagi Pengajaran di Malaysia
Lonjakan MSU dalam THE WUR 2027 turut memperkukuh momentum pencapaian institusi dalam agenda kelestarian global.
Sebelum ini, MSU berada pada kedudukan ke-88 dunia dalam THE Sustainability Impact Rankings 2026, mencerminkan komitmen berterusan universiti terhadap pembangunan mampan dan impak sosial.
Lonjakan ranking ini juga merupakan penanda aras kepada keberkesanan strategi pengantarabangsaan MSU yang menyaksikannya menjalinkan kerjasama pintar dengan lebih 350 universiti dan institusi di seluruh dunia, ini membuka laluan kepada pelbagai bentuk program mobiliti global termasuk pertukaran pelajar dan staf (inbound dan outbound), latihan industri dan penyelidikan bersama.
Antara inisiatif mobiliti global yang ditawarkan ialah Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).
Usaha ini turut disokong melalui Yayasan MSU menerusi Scholarship for Mobility and International Learning Experiences (SMILE) bagi memperluas akses pelajar kepada pengalaman pembelajaran dan pendedahan antarabangsa.
Pada masa ini, komuniti pelajar antarabangsa MSU terdiri daripada pelajar dari 82 negara termasuk United Kingdom, Türkiye, China, Arab Saudi, Mesir, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives, Oman, Perancis, Yemen, Myanmar, Nigeria, Sudan, Botswana, India, Comoros, Iran dan Libya.
Selain itu, pendekatan industry talent embedded ecosystem yang diterapkan turut diintegrasikan dalam agenda pengantarabangsaan melalui kolaborasi strategik dengan lebih 3,000 rakan industri di dalam dan luar negara.
Ini membolehkan pelajar MSU mendapat pengalaman global sebenar, bersedia untuk pasaran kerja antarabangsa dan memenuhi keperluan industri global yang dinamik.
Ekosistem ini membuka peluang kepada pelajar untuk memperoleh pendedahan industri yang relevan, pengalaman global dan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi pasaran pekerjaan antarabangsa serta memenuhi tuntutan industri global yang dinamik.
Selain pengantarabangsaan dan kerjasama industri, MSU turut memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan secara menyeluruh melalui agenda kebolehpasaran graduan, keusahawanan, penglibatan komuniti, penyelidikan, pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel.
Seiring hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan antarabangsa, MSU kekal komited untuk membina jaringan global yang inklusif, inovatif dan berimpak tinggi serta merealisasikan aspirasi untuk melahirkan graduan bertaraf dunia yang mampu menjadi pemimpin di peringkat global.