Mohd Arifin (tengah) ketika menyempurnakan simbolik penyerahan peruntukan kepada 10 sekolah dalam daerah Sipitang.
Mohd Arifin (tengah) ketika menyempurnakan simbolik penyerahan peruntukan kepada 10 sekolah dalam daerah Sipitang.

10 sekolah di Sipitang terima manfaat dari BALKIS, peruntukan RM500,000 untuk tujuan penyelenggaraan

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
22 Jul 2025 08:00pm

Sebanyak 10 sekolah rendah dan menengah di Sipitang menerima peruntukan berjumlah RM500,000 di bawah Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan bangunan sekolah masing-masing.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, BALKIS merupakan salah satu daripada 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Tugas-Tugas Khas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kerajaan Sabah sentiasa memberikan perhatian yang sangat mendalam dalam memperkukuhkan bidang pendidikan di negeri ini.

"Bukan sahaja kepada pelajar menerusi pelbagai inisiatif seperti permohonan Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan  bantuan ihsan komputer (BAIK), tetapi juga kepada sekolah, organisasi dan komuniti pendidikan secara menyeluruh,” katanya selepas menyerahkan peruntukan BALKIS di Pejabat Daerah Sipitang, pada Isnin.

Menurut beliau lagi, bantuan penyelenggaraan ini melibatkan pelbagai jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, sekolah agama negeri, sekolah menengah agama negeri serta sekolah vernakular seperti sekolah Cina.

“BALKIS ini bukan hanya untuk sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sahaja, tetapi juga melibatkan sekolah-sekolah yang dikenal pasti perlu dinaik taraf atau ditambah baik dari pelbagai aspek, mengikut permohonan dan keperluan semasa,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan ini adalah untuk kerja-kerja pembaikan kecil seperti baik pulih bumbung, siling, tingkap, lantai dan sebagainya, berdasarkan permohonan yang diterima daripada pejabat pendidikan daerah (PPD), wakil rakyat serta pihak sekolah sendiri.

“Di seluruh Sabah, lebih 110 buah sekolah dikenal pasti menerima manfaat di bawah program ini. Bagi daerah tertentu seperti Sipitang, kita salurkan RM500,000 berdasarkan keperluan dan permohonan yang telah diluluskan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Arifin turut memaklumkan bahawa selain BALKIS, setiap sekolah di Sabah juga telah menerima dua bentuk peruntukan lain sejak tahun lalu iaitu melalui Program Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES) dan peruntukan khas untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kita mahu memastikan semua sekolah mempunyai sokongan kewangan mencukupi bagi melaksanakan aktiviti dan program pembangunan pelajar. Malah, inisiatif lain seperti program  Bantuan Khas Program Pendidikan. (BANTU) juga diwujudkan untuk menyokong usaha organisasi berkaitan pendidikan,” katanya.

Beliau berharap bantuan penyelenggaraan ini akan memberi manfaat kepada warga sekolah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp