No Image Caption

100 pelajar SMK Kompleks KLIA seronok belajar sains kesihatan

18 Oct 2024 09:30am

Seramai 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA didedahkan dengan program sains kesihatan dalam Program HealthTech STEM Camp, baru-baru ini.

Program anjuran Fakulti Sains Kesihatan, Universiti KPJ Healthcare (KPJU) dibarakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysia (Mosti) di bawah inisiatif Program Kesedaran dan Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) (Program SciTech4U – STEM Camp Mosti 2024).

Program ini diadakan sebagai menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir agar semua pihak menggalas tanggungjawab mewujudkan minat pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya sains kesihatan.

Program dirasmikan oleh Pengetua SMK KKLIA, Ajemeek Samut.

Ajemeek menyatakan rasa terima kasih dengan penganjuran aktiviti seperti ini.

"Pihak sekolah amat berbesar hati. Ia bukan sahaja boleh memupuk minat pelajar terhadap STEM, tetapi juga memberi pendedahan kepada mereka tentang peluang kerjaya dalam bidang sains kesihatan," kata beliau.

Program itu turut dihadiri Dekan Fakulti Sains Kesihatan KPJU, Profesor Madya Dr Khairiah Abdul Hamid dan tiga guru kaunseling, Ramlah Mohd Tuit, Nur Ummirah Shaari dan Aima Syahira Mustapah.

No Image Caption

Menurut Dr Khairiah pula, program seperti ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar sekolah, namun ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada mahasiswa KPJU yang terlibat sebagai fasilitator program.

"Penglibatan mahasiswa dalam penganjuran program seperti ini dapat dapat mengasah kemahiran insaniah terutamanya dalam kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama," ujar beliau.

Menerusi program ini, pelajar menjalani dua sesi aktiviti.

Pengisian program pada sesi pagi merangkumi ceramah pendidikan serta pelbagai aktiviti berkumpulan.

Manakala pelajar dibawa melawat ke makmal pengajaran dan pembelajaran berkaitan program sains kesihatan seperti makmal pengimejan diagnostik, makmal farmasi, fisioterapi serta wad simulasi jururawat di KPJU pada sesi petang.

Pelajar juga didedahkan dengan simulasi pekerjaan dalam bidang sains kesihatan dan berpeluang mencuba beberapa prosedur makmal yang disediakan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp