umk3
umk3

115 staf UMK terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
04 Jun 2022 05:00pm
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraikan 115 penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) UMK 2021, di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, seramai 104 orang menerima APC, lima orang staf penerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) dan empat orang bagi kategori Anugerah Jasa Setia (AJS).

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Pendaftar UMK, Mazula Sabuddin.

Kesemua penerima APC membawa pulang hadiah RM1,000 dalam bentuk simpanan SSPN-I dan sijil penghargaan.

UMK turut menyampaikan anugerah insentif Graduate On Time (GOT) kepada dua penerima yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam tempoh asal pengajian.

Pada majlis sama, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) diumum penerima Anugerah Cemerlang Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (EOSH) 2021 yang membawa pulang piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM1,000.

Anugerah tersebut telah diterima oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts Dr Arham Abdullah.

Sementara itu, Mohamad Fatmi berkata, anugerah yang diberikan itu perlu dijadikan sebagai motivasi utama kepada staf yang diraikan untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah demi untuk kecemerlangan UMK.

Katanya, tujuan penganjuran APC adalah menjadi satu instrumen kepada staf untuk menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang kepada organisasi.

“Selain itu, anugerah ini menjadi motivasi kepada rakan-rakan lain untuk meletakkan sasaran supaya boleh berkhidmat dan menyumbang bakti dengan cemerlang untuk mencapai anugerah ini.

"Anugerah ini bukan untuk kita berlawan dan 'cah keting' atau sabotaj rakan-rakan sekerja lain tetapi jadikan pengiktirafan agar kita bersaing dan berlumba-lumba bagi mencapai kecemerlangan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razli berkata, majlis APC diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada warga UMK atas sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas rasmi di samping penglibatan secara aktif di dalam kegiatan penyelidikan, keusahawanan, sukan, kemasyarakatan dan lain-lain sumbang bakti yang memberi manfaat kepada universiti serta negara amnya.

Katanya, pengiktirafan ini merupakan satu manifestasi keprihatinan pengurusan UMK untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta prestasi tinggi yang ditunjukkan oleh semua staf dari pelbagai gred perkhidmatan.

“Anugerah ini menjadi contoh teladan serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh penerima anugerah akan menjadi rujukan dan penanda aras kepada yang lain.

“Adalah menjadi harapan saya agar seluruh warga UMK akan terus melakarkan kejayaan demi kejayaan sekali gus menunjukkan budaya kerja yang berprestasi tinggi, berintegriti dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan seharian,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Kongsi asas penulisan rencana, PSAS anjur Bengkel Strategi Penulisan Rencana Untuk Akhbar

Terkejut dengan pemergian rakan-rakan, satu kelas turut rasa sayu

Keluarga terharu terima diploma arwah anak


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok