
1,175 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif diluluskan - KPM
Sebanyak 1,175 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah diluluskan pembinaannya dengan kos keseluruhan bernilai lebih RM12.47 bilion.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sehingga Mac 2025, sebanyak 739 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah siap sepenuhnya.
"Ia merangkumi 258 projek di Sarawak, 229 di Sabah dan 252 di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
"Manakala 203 projek sedang dalam pembinaan dan 233 projek lagi berada pada peringkat prabina,” maklum KPM pada Rabu.
KPM berkata, pada tahun 2025, kerajaan Madani telah meluluskan pembinaan sebanyak 122 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif baharu di seluruh negara.
Ujar kementerian itu, ia adalah jumlah kelulusan tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.
"KPM proaktif memastikan isu sekolah daif ditangani segera menerusi pelaksanaan inisiatif projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara.
"Kami juga sentiasa berusaha memastikan akses pendidikan terbaik dapat disediakan demi manfaat murid dan seluruh masyarakat," ujarnya.