Untitled (25)
Untitled (25)

1,235 graduan Darul Quran sertai Majlis Istiadat Konvokesyen secara hibrid

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Oct 2021 09:16pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM ke-29 bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim Kuala Kubu Bharu, Selangor, pada Sabtu ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, majlis akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Menurut beliau, seramai 1,235 orang graduan daripada pelbagai program pengajian akan menyertai majlis konvokesyen itu yang diadakan secara hibrid membabitkan dua kohort pengajian iaitu kohort 2020 dan 2021.

“Majlis istiadat bagi kohort pelajar 2020 disekalikan bersama graduan kohort 2021 berikutan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Ujarnya lagi, pada majlis itu, 50 orang akan menerima sijil tamat pengajian daripada Program ljazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian secara kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Gambar hiasan ihsan daripada Facebook Darul Quran JAKIM.

"Seramai 1,003 orang graduan pula daripada Program Diploma Tahfiz al-Quran & al-Qiraat; 130 daripada Program Pensijilan Tahfiz al-Quran yang membabitkan kolaboratif dengan lima institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang graduan Program Sijil Asas Tahfiz JAKIM-PSAS (Politeknik Sultan Azlan Shah)," katanya.

Abdul Aziz berkata, graduan lain yang akan diraikan termasuk 11 orang graduan Program Sijil Asas Tahfiz bagi kategori mualaf, orang asli, pribumi Sabah/Sarawak dan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

“Turut diraikan enam orang perantis Program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Bidang Pengurusan Masjid dan 34 orang perantis Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Bidang Pengurusan Masjid serta Bidang Pengurusan Tahfiz,” tuturnya lagi.

Gambar hiasan ihsan daripada Facebook Darul Quran JAKIM.

Tambah beliau, JAKIM amat komited dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk memperkasakan pendidikan tahfiz agar seiring dengan pendidikan arus perdana malah sehingga kini, Darul Quran sudah berjaya melahirkan seramai 10,059 orang graduan huffaz sejak penubuhannya pada tahun 1966.

"JAKIM berharap usaha kerajaan melalui Inisiatif Pemantapan Sistem Pendidikan Islam yang membabitkan mekanisme pengajaran dan pembelajaran kurikulum pendidikan khususnya pendidikan tahfiz terus diangkat martabatnya serta dibuat penyesuaian mengikut norma baharu pendidikan masa kini.

"Semua langkah ini diharap dapat membantu penjanaan program pendidikan al-Quran khususnya dalam bidang tahfiz agar sampai kepada semua masyarakat Muslim dalam negara selaras dengan slogan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok