Winners of the MOE-MILO®-MSSM Sports Awards 2019
Winners of the MOE-MILO®-MSSM Sports Awards 2019

13 pelajar dan guru terima Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2019

Mohd Khairi Mohamad Yusri
03 Dec 2021 10:30am
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 13 pelajar dan guru dipilih menerima Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia-Majlis Sukan Sekolah Malaysia- Milo (Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO) 2019.

Bagi kategori pelajar, Loo Yie Bing dari Sekolah Menengah (SM) Sung Siew, Sandakan, Sabah, dipilih sebagai penerima Anugerah Tunas Harapan Puteri; Wong Lee Hong dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Miri, Sarawak (Anugerah Tunas Harapan Putera); Siti Nor Insyirah Mohamad Ariffin dari SMK Ulu Tira, Johor (Anugerah Pendidikan Khas Puteri) dan Jonah Chang Anak Rigan dari SMK Bandar Sarikei, Sarawak (Pendidikan Khas Putera).

Pelajar SMK Gunung Rapat, Perak, Nur Amisha Azrilrizal pula menerima Anugerah Khas Puteri manakala Mohammad Rifdean Masdor dari SMK Jalan Tasek, Ipoh, Perak (Anugerah Khas Putera); Iman Alisha Fakhri Yassin dari The International School @ Parkcity Kuala Lumpur (Anugerah Puteri Sukan); Khiew Hoe Yean dari Victoria Institution Kuala Lumpur (Anugerah Putera Sukan) dan Izzah Amzan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur (Anugerah Emas).

Bagi kategori guru pula meyaksikan pendidik dari SMK Chung Hua (CF), Sarawak, Chang Siang Cheng dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Berjasa Wanita dan Yeshodh A/L Parameswaran dari SMK Tuanku Muhammad, Negeri Sembilan menerima Anugerah Guru Berjasa Lelaki.

Mohd Shahril Shahidan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pula menerima Anugerah Jurulatih Sukan Cemerlang dan Mohamed Rafed Ismail dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dianugerahkan Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan).

Majlis penyampaian anugerah diadakan secara dalam talian yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MILO, pada Khamis.

BACA JUGA: KPM sambut baik saranan saringan Covid-19 murid sekolah rendah oleh KKM

BACA JUGA: MSU jalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Selangor

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata KPM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha meningkatkan kecemerlangan bidang sukan dan merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Nestle kerana sentiasa bersama-sama membangunkan bidang sukan di peringkat akar umbi.

“Dalam hal ini, saya bagi pihak kementerian ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Syarikat Nestle Products Sdn Bhd kerana terus menjadi penaja majlis anugerah ini dan juga pelbagai aktiviti sukan di sekolah, khususnya MSSM.

“Melalui kerjasama yang erat ini, pelbagai kejayaan telah dilakar di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, justeru itu saya menyeru agar semua pihak turut bersama- sama bergerak menjayakan Dasar 1Murid 1Sukan bagi melahirkan pelajar yang aktif bersukan sejajar dengan anjakan 9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

KPM menurut Radzi lagi, merupakan antara kementerian yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Dasar Sukan Negara melalui penubuhan Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri.

BACA JUGA: (VIDEO) Pelajari asas sukan badminton bersama Tan Boon Heong

BACA JUGA: UTeM bangunkan produk inovasi Origami Corner Chair, sumbang kepada golongan memerlukan

“Penubuhan sekolah sukan ini memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai murid yang berbakat di seluruh negara mendapat latihan serta bimbingan yang lebih bersistematik, sehingga berpeluang menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“KPM amat menghargai usaha dan peranan yang dimainkan MSSM dalam mencungkil dan membentuk bakat atlet murid malah ramai daripada mereka telah berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa, termasuk di pentas Sukan Olimpik," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran yang dihadapi bidang sukan sepanjang tempoh pandemik, Radzi menjelaskan walaupun latihan dan pertandingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia bukan penghalang kerana guru menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi untuk menggilap potensi murid dalam bidang sukan.

IKUTI GPSBestari di twitter dan instagram

“Dalam hal ini, kementerian telah menganjurkan pertandingan sukan secara dalam talian bagi memastikan murid kekal aktif dan sentiasa berpeluang menonjolkan bakat sukan masing-masing walaupun semasa berada di rumah.

“Sebagai contoh, Pertandingan Kemahiran Sukan MSSM Secara Dalam Talian 2021 yang baru sahaja selesai dianjurkan dan telah disertai seramai 46,269 peserta. Kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini boleh dijadikan sebagai platform mengenal pasti bakat baharu dan mempersiapkan atlet murid untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan sukan akan datang,” tambahnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta termasuk tiga buah negeri yang menerima Anugerah Juara MSSM 2019.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat kepada atlet murid dan jurulatih untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Saya juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang terlibat untuk menjayakan Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO tahun 2019.

“Teruskan memberi sokongan padu kepada KPM supaya usaha membangunkan atlet murid dapat terus dipergiatkan,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok