Untitled (66)
Untitled (66)

KPM sambut baik saranan saringan Covid-19 murid sekolah rendah oleh KKM

Nor Azma  Muhamat Laila
27 Nov 2021 08:57pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik saranan saringan Covid-19 murid sekolah rendah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran.

Menurut KPM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, langkah itu selaras dengan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh KKM.

"KPM telah membekalkan Kit Ujian Kendiri COVID-19 ke sekolah rendah di bawah kementerian bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan seperti mana tatacara pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

"Kementerian juga akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan," katanya.

Selain itu, KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM.

KKM sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa bermula Isnin ini, murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok