SK Kanchong Darat bertanding bagi kategori Gaya Hidup Sihat.
SK Kanchong Darat bertanding bagi kategori Gaya Hidup Sihat.

2 sekolah Malaysia tersenarai 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, berikut kata-kata semangat Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan

ROSHLAWATY MD RAIEH
16 Jun 2023 03:34pm
A
A
A

Dua buah sekolah Malaysia telah tersenarai dalam kedudukan 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.

Sekolah yang bertuah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Bayan Baru, Pulau Pinang dan SK Kanchong Darat, Banting, Selangor.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi laman Facebook pada Khamis berkata, SK Seri Permai tersenarai bagi kategori Inovasi.

Mereka telah membangunkan inovasi meja dan ruang simpanan buku yang dikenali sebagai Smart and Easy Table (SnET) 2.0 bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.

Manakala SK Kanchong Darat, Selangor, tersenarai dalam kategori Gaya Hidup Sihat dengan membawakan inovasi Program Minda Sihat, Warga Hebat bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah sekali gus menangani isu obesiti kanak-kanak.

SK Seri Permai tersenarai kategori Inovasi iaitu membangunkan inovasi meja dan ruang simpanan buku dikenali SnET 2.0 bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.
SK Seri Permai tersenarai kategori Inovasi iaitu membangunkan inovasi meja dan ruang simpanan buku dikenali SnET 2.0 bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.

Kedua-dua sekolah ini berpeluang memenangi sebahagian daripada hadiah keseluruhan AS$250,000 (RM1.16 juta), untuk dikongsi sama rata bersama lima pemenang dengan masing-masing menerima AS$50,000 (RM231,300).

Tiga finalis teratas untuk setiap hadiah akan diumumkan pada September depan manakala pengumuman pemenang pula pada Oktober.

Artikel Berkaitan:

Pemenang bagi setiap hadiah akan dipilih berdasarkan kriteria oleh juri yang terdiri daripada ahli akademik, pendidik, badan bukan kerajaan, usahawan sosial, kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta dari seluruh dunia.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada dua sekolah tersebut atas kejayaan mereka tersenarai dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.

"Salut saya buat warga pendidik dan anak-anak atas pencapaian ini, semoga terus mengorak langkah mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," kata beliau menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengucapkan tahniah kepada SK Seri Permai dan SK Kanchong Darat atas pencapaian masing-masing.

"Kejayaan sekolah-sekolah ini menunjukkan keupayaan kita berdaya cipta, mencari penyelesaian baru secara kritis dan kreatif.

"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada dua buah sekolah Malaysia yang tersenarai dalam 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023," katanya dalam catatan di Facebooknya pada Khamis.

Pada 2022, dua buah sekolah dari negara ini iaitu SK Kempadang, Kuantan, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa, Klang, Selangor turut berjaya tersenarai dalam kedudukan 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

SK Kempadang tersenarai bagi kategori Inovasi selepas mencipta sistem penyelesaian digital sepenuhnya bagi mengesan kemajuan murid.

Manakala SMK Kampong Jawa tercalon kategori Menangani Cabaran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok