
22,351 calon peroleh 9A dalam UPKK 2024
Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2024 baru sahaja diumumkan sebentar tadi.
Menerusi pengumuman yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar itu, seramai 22,351 calon memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan tersebut.
Mata pelajaran terbabit ialah Amali Solat; Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI); Tilawah Al-Quran; Pelajaran Jawi dan Khat; Sirah; Ibadah; Aqidah; Adab (Akhlak Islamiah) dan Lughah Al-Quran.
Mohd Na'im berkata, seramai 19,007 calon telah mendapat 8A; 17,287 (7A); 16,990 (6A) dan 17,516 (5A).
Katanya lagi, 20,372 lagi memperoleh 4A; 37,056 (3A); 35,495 (2A); 35,495 (1A); 27,830 (0A) dan 4 (semua D).
Mohd Na'im yang mengumumkan keputusan UPKK 2024 di Kompleks Islam Putrajaya pada Khamis, merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon dan guru-guru yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam meningkatkan pencapaian peperiksaan itu.
Katanya, peperiksaan hanya suatu mekanisme bagi pengukuran dan penilaian terhadap pembelajaran murid-murid yang telah mengikuti KAFA sepenuhnya sepanjang lima tahun.
"Bagi murid yang menerima keputusan sederhana dan rendah, masih banyak ruang dan masa yang boleh diperbaiki untuk mencapai kecemerlangan di masa hadapan.
"Pembelajaran KAFA tidak tertumpu kepada peperiksaan sahaja, namun pengamalan nilai-nilai islami yang tinggi dalam pembentukan jati diri dapat melahirkan murid-murid seimbang dari sudut intelektual dan sahsiah," ujarnya.
Terdahulu, semakan keputusan UPKK 2024 boleh dilakukan menerusi laman web https://semakan.islam.gov.my/ yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ibu bapa atau penjaga perlu menggunakan nombor MyKid dan nombor angka giliran bagi menyemak keputusan bermula sekarang.
Manakala Slip Keputusan UPKK 2024 boleh diperoleh di sekolah masing-masing mulai 21 Mac, jam 9.30 pagi.
INFO
- Sejumlah 240,244 calon telah mendaftar bagi menduduki UPKK 2024 di 6,176 pusat peperiksaan.
- Jumlah calon menunjukkan pertambahan sebanyak 2.77 peratus (6,468 calon) berbanding 233,776 pada 2023.
- Seramai 3,257 calon tidak hadir bagi UPKK 2024 berbanding 4,721 calon semasa UPKK 2023.
- Jumlah ketidakhadiran calon menunjukkan penurunan sebanyak 31.01 peratus (1,464 calon) berbanding UPKK 2023.
- 13,923 petugas peperiksaan telah dilantik bagi melancarkan peperiksaan itu manakala 4,824 petugas pemeriksaan pula dilantik untuk melaksanakan pemeriksaan.