
Keputusan UPKK 2024 diumum esok!
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2024 boleh disemak menerusi laman web https://semakan.islam.gov.my/
Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar akan menyempurnakan pengumuman itu esok, pada pukul 12 tengah hari.
"Semakan rumusan keputusan calon boleh dibuat mulai jam 2 petang menerusi pautan yang sama.
"Ibu bapa atau penjaga perlu menggunakan nombor MyKid dan nombor angka giliran bagi menyemak keputusan.
"Untuk mendapatkan Slip Keputusan UPKK 2024 pula, mereka (ibu bapa atau penjaga) perlu memperolehinya daripada sekolah masing-masing bermula 21 Mac, jam 9.30 pagi," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
UPKK merupakan peperiksaan yang menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid-murid dalam bidang pengajian Al-Quran, Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Adab (Akhlak Islamiyah), Jawi dan Khat serta Asas Lughatul Quran.
Terdapat sembilan subjek UPKK 2024 yang diduduki murid Tahun Lima iaitu Amali Solat; Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI); Tilawah Al-Quran; Pelajaran Jawi dan Khat; Sirah; Ibadah; Aqidah; Adab (Akhlak Islamiah) dan Lughah Al-Quran.