
23 kluster influenza libatkan pelajar sekolah di Perak
Kanak-kanak dikenal pasti sebagai kumpulan paling terkesan dalam penularan jangkitan influenza di Perak tahun ini, kata Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Datuk A Sivanesan.
Beliau berkata, daripada 65 kluster yang direkodkan, 23 daripadanya atau 35.38 peratus melibatkan institusi pendidikan sekolah rendah dan menengah ke bawah.
Menurutnya, penularan influenza dalam kalangan pelajar sekolah menjadi tumpuan pihaknya, namun keadaan kini menunjukkan perkembangan yang lebih baik.
"Tren kluster meningkat pada minggu epidemiologi (ME) 40 hingga 42, tetapi selepas itu menurun dengan sangat ketara. Daripada 17 kluster pada ME 42, ia susut kepada hanya satu kluster pada ME 43, iaitu penurunan 94.1 peratus.
"Pada ME 47 pula, tiada kluster baharu dilaporkan,” katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, kadar konsultasi influenza di fasiliti kesihatan juga menunjukkan penurunan daripada 8.91 peratus pada ME 42 kepada 4.58 peratus pada ME 48.
"Dalam tempoh ME 1 hingga ME 48 tahun ini, seramai 36 pesakit influenza dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Sivanesan menjelaskan bahawa influenza bukan penyakit yang tertakluk kepada keperluan pelaporan di bawah Akta 342, namun pemantauan berterusan dijalankan melalui sistem laporan sedia ada dan lokasi sentinel di seluruh negara.
Sementara itu, menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup)berhubung bantuan kepada pelajar yang terjejas akibat influenza, Sivanesan berkata, kerajaan negeri tidak menyediakan skim khas buat masa ini.
Bagaimanapun katanya, rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan tetap diberikan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk penilaian klinikal, rawatan simptomatik dan pemberian antiviral kepada kumpulan berisiko.
"Kerajaan negeri juga terus bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah dan KKM dalam pemantauan di sekolah dan pelaksanaan langkah pencegahan seperti nasihat kesihatan, pengesanan awal dan kawalan jangkitan," katanya.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak paling terkesan oleh influenza di Perak tahun ini
- 23 daripada 65 kluster influenza melibatkan institusi pendidikan
- Tren kluster influenza menunjukkan penurunan ketara selepas minggu epidemiologi 42
- Kadar konsultasi influenza di fasiliti kesihatan turun dari 8.91 peratus ke 4.58 peratus
- Kerajaan negeri bekerjasama dengan KKM dalam pemantauan dan langkah pencegahan di sekolah
