253 murid terima watikah pelantikan, ikrar jalankan tugas dengan amanah
253 murid terima watikah pelantikan, ikrar jalankan tugas dengan amanah

253 murid terima watikah pelantikan, ikrar jalankan tugas dengan amanah

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
14 Jul 2022 10:51am

Seramai 253 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah telah dilantik sebagai pemimpin murid sekolah tersebut baru-baru ini.

Mereka yang dilantik terdiri daripada beberapa kategori pemimpin murid iaitu 69 Pengawas, 40 Tunas Pembimbing Rakan Sebaya, 30 Skim Pinjaman Buku Teks, 37 Pusat Sumber Sekolah, 37 Briged Bestari, 38 Ketua/Penolong Tahap Dua dan dua Pengawas Program Pendidikan Khas Integrasi.

Kesemua yang terpilih telah menerima watikah pelantikan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Murid yang dirasmikan oleh Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan.

Hasmuni ketika berucap, memuji usaha yang dilakukan pihak sekolah, mencari pemimpin murid yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan terbaik dalam kalangan murid lain.

“Saya akui bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan pemimpin muda di sekolah. Namun, ia bukanlah perkara mustahil untuk dilakukan kerana setiap sekolah pasti ada murid yang memiliki personaliti bijak, berkaliber, berdisiplin dan bertanggungjawab di atas setiap tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka.

“Pada yang memiliki personaliti ini, andalah yang akan diangkat sebagai pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, Hasmuni turut berkongsi tip untuk menjadi pemimpin antaranya, perlu mempunyai ketajaman akal dan fikiran untuk bertindak dan menyalurkan kuasa yang ada.

Tambah beliau, pemimpin adalah seseorang yang mempunyai segalanya lebih daripada orang yang dipimpinnya kerana mereka adalah duta kecil yang membantu menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Sementara itu, guru besarnya, Mohd Nizam Saidin melahirkan harapan yang cukup tinggi kepada murid yang dilantik sebagai pemimpin.

“Inilah masanya untuk anak-anak didik membuktikan yang anda boleh menjadi pemimpin yang hebat suatu hari nanti.

“Tonjolkan bakat yang ada dalam bidang kepimpinan dan berbaktilah dengan seikhlas hati kepada sekolah yang dicintai,” ujarnya.

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Murid, SK Dato’ Wan Kemara yang berlangsung dengan jayanya turut dihadiri peserta Program Kelayakan Professional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan atau National Profesional Qualification For Educational Leaders (NPQEL) yang menjadi penganjur bersama.

Selain menjadi tetamu, para peserta NPQEL juga bertindak sebagai fasilitator kepada 253 pemimpin murid dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) sebelum ini.

Teruja dan bangga

Seorang pemimpin murid, Nur Aina Soffiya Balqis Shahrizan memberitahu yang dirinya sangat teruja dan bangga apabila majlis yang dianjurkan itu telah berjaya mengangkat martabat mereka sebagai pemimpin murid.

“Terima kasih kepada pihak sekolah kerana memilih saya dan rakan-rakan yang lain sebagai pemimpin.

“Insya-ALLAH, kami akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Sekolah adalah tempat yang terbaik untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang bijaksana, berintegriti tinggi dan berketerampilan.

Justeru, usaha yang dibuat oleh SK Dato’ Wan Kemara ini wajar dicontohi dan dijadikan satu agenda penting dalam kalendar aktiviti sekolah.

Artikel berkaitan

“Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah” 

Pelajar pengajian Islam dan bahasa Arab perlu kuasai bahasa Inggeris, ini sebabnya

Penglibatan pelajar dalam unit beruniform lahir pemimpin berwibawa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp