patrick-tomasso-Oaqk7qqNh_c-unsplash
patrick-tomasso-Oaqk7qqNh_c-unsplash

Pelajar pengajian Islam dan bahasa Arab perlu kuasai bahasa Inggeris, ini sebabnya

Adlan Farhan Azwan
24 Jun 2022 02:48pm
A
A
A

Bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling banyak digunakan di seluruh dunia dengan lebih 1,132 juta penutur.

Kini, penguasaan bahasa Inggeris telah menjadi satu kewajipan bagi semua pelajar terutamanya dalam bidang profesional.

Sistem pendidikan negara telah mengenal pasti kepentingan ini sekali gus melengkapkan murid dengan kemahiran bahasa Inggeris bermula di peringkat prasekolah sehingga ke peringkat universiti.

Sehubungan itu, Sinar Bestari tertarik dengan hantaran oleh Pensyarah Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Solehah Yaacob yang berkongsi mengenai kepentingan menguasai bahasa Inggeris bagi pelajar jurusan Islam dan bahasa Arab.

Jom ikuti perkongsian tersebut.

*

Pelajar yang mengambil jurusan pengajian Islam dan bahasa Arab perlu meningkatkan lagi kemahiran untuk menguasai bahasa Inggeris. Pandangan ini mungkin agak janggal bagi sesetengah orang. Namun, percayalah tanpa bahasa Lingua Franca ini, maklumat penambahan dan penyampaian akan terbantut. Bukan menidakkan kehebatan bahasa ibunda, tetapi dengan ada kekuatan bahasa Lingua Franca ini iaitu bahasa Inggeris, kita dapat menaikkan bahasa ibunda, di mana maklumat yang ada kita boleh terjemahkan ke dalam bahasa ibunda kita sebanyak mungkin. Lama-kelamaan, bahasa ibunda berkembang dan generasi baru terdidik dengan maklumat-maklumat semasa dunia.

Bukan itu sahaja, banyak idea-idea barat yang berguna dan berfaedah untuk kita teladani dan diambil perhatian. Tidak kurang juga maklumat yang perlu dikritik dan diperbetulkan. Berani melontarkan idea-idea bernas di pentas dunia bukan hanya harus berada di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah tulisan mata pena kadang kala lebih berkuasa. Justeru itu, kebolehan mengkritik dan berhujah apabila mengutarakan pendapat memerlukan kemampuan yang baik dalam bahasa Inggeris.

Bagi Bahasa Arab pula, ia berperanan membongkar maklumat-maklumat silam yang masih lagi putih dari penggodaman pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru, bahasa Arab amat penting untuk mengekalkan jati diri sebagai seorang Islam yang mempertahankan fahaman agama samawi ini. Kekuatan bahasa Inggeris sesungguhnya mampu menyediakan ruang dakwah yang luas. Di mana kemampuan mengkritik dan memperbetulkan maklumat- maklumat songsang amat penting. Ini kerana, buku-buku di peringkat global kebanyakkan ditulis di dalam bahasa Inggeris. Selain itu, kebolehan dan kemahiran menggunakan alat-alat teknologi merupakan bonus bagi sesiapa yang menguasainya.

Gabungan mempunyai keempat-empat kemahiran ini (bahasa Arab, bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Teknologi) amat bertepatan dengan seruan kerajaan memahirkan diri di peringkat global.

Namun, realiti yang sebenarnya adalah ia agak sukar memandangkan pelajar-pelajar jurusan pengajian Islam dan bahasa Arab di Malaysia masih lagi kurang mengambil berat untuk menguasai bahasa Inggeris sama ada dalam perbualan atau penulisan. Perkara ini agak berbeza dengan pelajar jurusan lain. Ia sudah tentu memberi cabaran dan tamparan yang hebat kepada mereka daripada jurusan agama dan bahasa arab ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mulakan usaha murni ini demi memperbetulkan maklumat yang telah terpesong dengan menjadikan maklumat agama yang didapati daripada al-Quran dan kitab-kitab turath melalui kebolehan berbahasa Arab sebagai asas utama dalam mempertahankan agama Islam ini dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai wasilah semasa untuk menyampaikan maklumat yang telah dipropagandakan.

Sumber: Facebook Prof. Dr. Solehah Yaacob

Artikel berkaitan

Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan 5 aplikasi mudah ini

Lakukan 6 perkara ini untuk anak kuasai bahasa Inggeris. Sangat berkesan!

Selalu buat kesilapan “grammar” Bahasa Inggeris? Ini aplikasi yang boleh bantu anda


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok