Untitled (29)
Untitled (29)

3,719 pelajar UMK kembali ke kampus

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Oct 2021 07:03pm
A
A
A

BACHOK - Seramai 3,719 orang pelajar Semester September Sesi Akademik 2021/2022, kembali ke kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), bermula hari ini sehingga 18 Oktober 2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof Dr Razli Che Razak, mengalu-alukan kehadiran semua pelajar lama dan baharu yang akan memulakan sesi pengajian sesi semester ini secara hibrid.

Beliau berkata, kemasukan pelajar secara fizikal ke UMK melibatkan penginapan kolej kediaman dan luar kampus bagi ketiga-tiga kampus.

"Pihak UMK akan menerima kemasukan pelajar secara berperingkat di ketiga-tiga kampus UMK iaitu Bachok, Jeli dan Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

"Setiap pelajar akan menjalani ujian kendiri Covid19 dan sekiranya disahkan negatif mereka dibenarkan mendaftar di kolej kediaman.

"Proses saringan ini bagi memastikan pelajar adalah sihat dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum dibenarkan memasuki kolej kediaman atau penginapan luar kampus," katanya ketika meninjau proses kemasukan pelajar secara fizikal di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, Tangok, Kelantan, hari ini.

Tambah beliau, proses pendaftaran kemasukan pelajar pada hari ini berjalan lancar selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Pelajar yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan berada di kampus dan perlu menjalani ujian kendiri untuk memastikan mereka benar-benar sihat.

"Sementara itu, bilangan pelajar menduduki kolej kediaman tertakluk kepada kapasiti asrama yang telah ditetapkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok