4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat
4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

Roshlawaty Md Raieh
02 Aug 2022 06:27pm
A
A
A

Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah terus mengharumkan nama negara apabila sepasukan guru dari kolej tersebut menjuarai GoAbroad Innovation Awards kategori Innovative TEFL/Teach Abroad untuk tahun 2022, baru-baru ini.

Keputusan pertandingan yang berpusat di Colorado, Amerika Syarikat itu diumumkan secara bersemuka di majlis penyampaian anugerah pada Jun lalu disusuli dengan pengumuman di laman sesawang penganjur selepas berakhirnya pertandingan tersebut.

Pasukan KV Keningau yang telah melakar kejayaan itu terdiri daripada empat guru hebat iaitu Cikgu Larry James, Cikgu Alvinah Tony, Cikgu Akmal Rosimun dan Cikgu Sirhajwan Idek.

Mereka tampil dengan projek pendidikan yang dinamakan Omiyage (bererti ‘hadiah’ dalam bahasa Jepun), ia adalah berasaskan tradisi dan amalan negara Jepun yang mereka terokai untuk mempelbagaikan strategi pembelajaran.

Projek tersebut juga bertujuan membimbing para pelajar dan guru dalam mempelajari dan mengaplikasikan beberapa amalan tradisi dan moden negara Jepun seperti haiku (puisi), pechakucha, manga (komik), Keitai Shousetsu dan Daruma Otoshi.

Menerusi projek itu juga, ramai pelajar KV Keningau telah berjaya menghasilkan karya seni seperti haiku dan manga. Malah, ada juga yang berusaha mencuba stail pembentangan pechakucha apabila menyertai simposium dalam talian.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin mengucapkan tahniah kepada pasukan guru yang telah membawa nama kolej dan negara sehingga ke Amerika Syarikat.

Beliau menaruh keyakinan bahawa usaha guru-guru berkenaan mampu meningkatkan kemahiran sosiobudaya pelajar dan mengukuhkan lagi kualiti pendidikan kolej melalui program pengantarabangsaan tersebut.

Sebelum ini, KV Keningau telah banyak mengharumkan nama Malaysia menerusi pencapaian guru dan para pelajarnya.

Terbaharu, pelajar jurusan teknologi pembinaan, Alesyah Asa terpilih sebagai salah seorang finalis daripada 50 calon seluruh dunia bagi anugerah Global Student Prize tahun 2022.

Alesyah merupakan calon tunggal negara dan pemilihan gadis ini ke Global Student Prize tahun 2022 berdasarkan pencapaian dan sumbangannya dalam bidang inovasi; bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); program pertukaran budaya dan hackathon.

Artikel berkaitan 

Tersenarai antara 50 calon seluruh dunia, Alesyah buat rakyat Malaysia gembira dan bangga!

4 penyelidik bangunkan Modul STEM Covid-19, bantu guru laksana PdP di sekolah

10 tip mudah untuk cipta animasi dan aplikasi animasi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok