Untitled design
Untitled design

10 tip mudah untuk cipta animasi dan aplikasi animasi

Roshlawaty Md Raieh
24 Sep 2021 05:20pm
A
A
A

Tip 1: Mulakan dengan pergerakan mudah

Menghasilkan animasi tidak begitu mudah kerana perlunya pergerakan yang kelihatan boleh diterima akal dan adakalanya perlu melanggar peraturan graviti dan fizik. Namun, mempelajari pergerakan yang asas yang mudah akan membantu kita dalam menghasilkan animasi dengan baik.

Dengan menggunakan pensel dan kertas, animasi boleh dihasilkan. Mulakan dengan pergerakan seperti pergerakan sebuah bola yang melantun. Pergerakan bola yang melantun itu sendiri mengaplikasikan teknik asas animasi iaitu ‘squash and stretch’.

Secara tidak langsung, kita akan mengilustrasikan pergerakannya dengan mengambil kira graviti, berat ketumpatan bola tersebut. Latihan ini akan membantu kita kuasai perkara asas animasi dan secara berperingkat boleh hasilkan sesuatu yang lebih kompleks seperti berjalan atau terbang.

Tip 2: Banyakkan mengkaji dan membuat rujukan

Begitu banyak animasi yang telah ditayang di seluruh negara tidak kira di dalam negara mahupun di luar negara. Ini memberikan ruang yang sangat luas untuk kita membuat rujukan pada kaca mata seorang juruanimasi.

Seorang juruanimasi yang berjaya adalah dengan menonton animasi untuk dijadikan sebagai rujukan bagi animasi yang ingin di hasilkan. Movie mahupun series yang telah dihasilkan boleh memberikan kita inspirasi dan dari pelbagai sudut.

Haziq Khushairi selaku pembuat storyboard Wau Animation pernah memberitahu ketika sesi latihan sebelum ini...

“Dengan menonton movie atau kartun, kita dapat tengok bagaimana cerita itu menggunakan sudut kamera dengan baik, mesej cerita yang bermakna dan perjalanan cerita yang menarik.”

Poster animasi bertajuk Soul.

Contoh cerita Soul dari Pixar - Jalan cerita yang open ended, cerita ini membuatkan kita faham bahawa hidup ini bukan hanya untuk satu tujuan sahaja tetapi ada pelbagai. Emosi, pilihan dan sudut kamera yang di hasilkan ketika sedang bermain piano dalam movie ini memainkan peranan untuk kita lebih memahami dan menghayati perjalanan ceritanya.

Inilah antara cara untuk kita lebih menghayati sesebuah movie dalam kaca mata seorang juruanimasi. Bukan hanya dari sudut pergerakannya sahaja, tetapi dari kesemua sudut yang ada dalam movie itu, barulah akan membantu dan memberikan kita idea dan inspirasi dalam penghasilan sesebuah animasi.

Tip 3: Perlu belajar berkenaan asas-asas animasi

Segalanya perlu bermula dengan asas. Jika kita mula dari pertengahan tanpa asas, maka berkemungkinan kita akan terhenti di pertengahan jalan.

Dalam animasi, ada beberapa asas yang perlu kita dalami untuk lebih memahami konsep-konsepnya.

Antara asas animasi yang boleh di pelajari adalah 12 Principle of Animation, terma-terma animasi dan proses animasi.

12 Principle of animation adalah

1) Squash and Stretch

2) Anticipation

3) Staging

4) Straight Ahead Action and Pose-to-Pose

5) Follow Through and Overlapping Action

6) Ease In, Ease Out

7) Arcs

8) Secondary Action

9) Timing

10) Exaggeration

11) Solid Drawing

12) Appeal

Setiap satu prinsip ini akan membantu kita memahami apa yang di maksudkan dengan pergerakan animasi tersebut.

Gambaran kesemua 12 prinsip animasi.
Sumber: https://geneturnbow.com/2017/01/05/the-twelve-principle-of-animation/

Sebagai contoh, prinsip Squash and Stretch iaitu menceritakan bagaimana pergerakan animasi boleh bertindak mengikut daya yang dikenakan ke atasnya. Squash ini adalah apabila sesuatu objek itu diberikan tekanan, makanya objek tersebut akan berbentuk leper sebentar dan kembali ke bentuk asal.

Manakala Stretch pula adalah apabila objek tersebut seperti ditarik sesuatu yang akan menyebabkan objek tu memanjang sebentar dan kembali ke bentuk asal.

Proses animasi ini antara perkara penting yang perlu anda tahu supaya anda dapat menghasilkan animasi dengan cara yang betul.

Istilah yang sering digunakan berkenaan proses animasi ini dipanggil sebagai Animation Pipeline. Bermula dengan menghasilkan sebuah cerita, penghasilan skrip, animatic sehinggalah memasukkan bunyi/sound effect yang betul.

Gambaran proses penghasilan animasi 3D. Sumber: https://geneturnbow.com/2017/01/05/the-twelve-principle-of-animation/

Bagi juruanimasi baharu, mungkin akan melangkau beberapa proses yang ditunjuk supaya dapat menghasilkan animasi dengan lebih mudah dan pantas. Namun, setiap proses ini perlu ada bagi menghasilkan animasi yang lebih tersusun dan profesional.

Terma-terma animasi seperti Timeline dan Keyframe pula perlu difahami supaya dapat menghasilkan animasi dengan cara yang betul.

Timeline inilah yang bantu kita untuk mengubah masa dan keadaan watak atau latar belakang animasi yang kita buat. Setiap aplikasi, perisian animasi atau penghasilan video mempunyai fungsi Timeline ini.

Tip 4: Mempelajari anatomi dan pergerakan

Penghasilan watak dalam animasi memerlukan kita fahami berkenaan anatomi pergerakan. Kenapa perlunya anatomi ini adalah kerana ingin melihat watak animasi kita itu lebih realistik dan logik.

Apabila kita belajar berkenan anatomi ini, kita akan lebih mudah melukis dan menganimasikan pergerakan watak animasi itu.

Sebagai contoh, pergerakan sedang berjalan. Pergerakan berjalan ini melibatkan beberapa anggota badan dari kaki sehingga ke kepala. Jadinya, dengan mengetahui anggota mana yang bergerak ketika berjalan akan melihatkan watak kita kelihatan lebih natural dan tidak kelihatan ‘keras’ dan kekok.

Anatomi dan pergerakan ini tidak sahaja kepada benda yang hidup, termasuklah yang tidak hidup seperti api yang membakar dan pokok yang bergoyang.

Contoh latihan dalam melukis anatomi manusia.

Zulkifly dari Blindspot Studio telah memberikan tip untuk membiasakan diri dengan anatomi iaitu dengan cara merakamkan pergerakan diri sendiri dan cuba untuk animasikan pergerakan tersebut.

Tip 5: Kurangkan lukisan watak yang terlalu terperinci

Sebagai permulaan dalam animasi ini, lukisan watak secara terperinci bukanlah satu keutamaan yang penting. Hal ini kerana lukisan watak yang terperinci akan menyukarkan lagi proses membuat animasi tersebut.

Bayangkan dengan perincian yang dibuat ini, bagi setiap frame yang dibuat perlu lakukan proses yang sama terhadap watak tersebut. Jika mengambil masa satu jam untuk lukiskan satu watak itu, mungkin perlu siapkan animasi 30 saat sahaja boleh mengambil masa 1 bulan untuk menyiapkan animasi tersebut.

Contoh reka bentuk watak animasi yang tidak terlalu kompleks.

Sebab itulah, jika masih baharu dalam animasi ini, cuba kurangkan lukisan watak yang terperinci tetapi hasilkan watak yang mudah untuk dilukis dan kena dengan cerita yang ingin di hasilkan.

Tip 6: Kurangkan pergerakan animasi secara serentak

Kebiasaannya animasi akan ada banyak watak yang terlibat, namun ia akan menjadi suatu kekeliruan jika setiap animasi itu ada pergerakan serentak dalam animasi tersebut.

Kurangkan pergerakan dalam setiap watak secara serentak pada animasi tersebut untuk menyenangkan penonton fokus pada watak yang ingin di tonjolkan. Ia juga memudahkan pembuat animasi untuk membuat pergerakan pada satu-satu watak tanpa hiraukan watak lain.

Lihat kepada gambaran keseluruhan animasi sebelum memulakan penghasilan animasi tersebut supaya tidak berlaku seperti yang dinyatakan. Kerana itulah pentingnya memahami proses animasi terlebih dahulu.

Tip 7: Hasilkan jalan cerita animasi yang diterima ramai

Kerap kita lihat animasi yang kita mudah untuk terima kandungannya kerana mereka berjaya membuat animasi yang berkaitan dengan ‘target audiencenya’.

Sebagai contoh, kartun Boboiboy yang mempunyai kuasa dan perwatakan superhero. Ciri-ciri tersebut secara tidak langsung adalah cita-cita kanak-kanak secara amnya, kerana itulah ia diterima ramai daripada Malaysia sehingga ke peringkat internasional.

Movie Ejen Ali pula menerapkan elemen semangat Malaysia iaitu dengan menambah watak mamak yang sangat signifikan dengan Malaysia.

Bagi menghasilkan animasi yang bagus adalah animasi yang mampu menawan hati para penonton dengan elemen-elemen yang umum seperti keluarga, kawan, sekolah, kehidupan dan lain- lain.

Suasana di dalam kedai mamak pada salah satu babak dalam animasi Ejen Ali.

Tip 8: Belajar lukis sesuatu yang bukan kebiasaan

Banyak pelukis akan berpuas hati dengan lukisan yang telah dibuat selama bertahun-tahun. Ia adalah sebuah latihan yang bagus untuk membiasakan diri dengan teknik-teknik lukisan yang lain.

Pelbagai sumber inspirasi lukisan yang di terima oleh masyarakat sekarang terutama sekali gaya lukisan dari Jepun. Tidak salah untuk meniru gaya lukisan sebagai inspirasi namun tidak sepatutnya kekal pada suatu gaya lukisan yang sama hingga tiada identiti tersendiri.

Pelbagaikan teknik lukisan sebagai latihan.

Dalam salah satu siri latihan bersama Ayie dari Creatvtoon, beliau pernah berkata

"Cuba biasakan diri dengan lukis sesuatu gaya lukisan yang luar dari kebiasaan dan cipta artstyle tersendiri yang tidak terpengaruh dari mana-mana budaya luar"

Tip 9: Menggunakan aplikasi atau perisian yang tepat

Dalam menghasilkan animasi, aplikasi atau perisian yang tepat memainkan peranan yang penting.

Ada pelbagai aplikasi dan perisian yang di tawarkan secara berbayar mahupun yang percuma.

Antara aplikasi yang percuma yang kerap digunakan oleh remaja adalah aplikasi Flipaclip.

Flipaclip adalah aplikasi yang ditawarkan secara percuma di telefon bimbit yang menggunakan OS android dan IOS.

Dengan berkonsepkan frame by frame, secara mudahnya aplikasi ini membantu juruanimasi baharu untuk belajar walaupun tidak pernah membuat sebarang animasi.

Farah Adiba selaku pengguna yang sudah menggunakannya selama lima tahun itu telahpun meraih 130 ribu subscribers di Youtube hanya dengan membuat animasi menggunakan aplikasi flipaclip tersebut.

Krita pula adalah perisian komputer yang percuma untuk menghasilkan animasi.

Clip Studio Paint pula adalah perisian komputer berbayar untuk lukisan dan animasi.

Perisian ini mempunyai banyak fungsi yang menarik supaya para juruanimasi mampu menghasilkan animasi dengan lebih cekap dan lebih kemas.

Salah satu kaedah lagi dengan menggabungkan penggunaan aplikasi Ibispaint dan Kinemaster.

Caranya adalah dengan membuat lukisan pada Ibis Paint tersebut kemudiannya di hantar ke aplikasi suntingan video Kinemaster untuk membuat pergerakan animasinya.

Adobe Animate dan Toonboom Harmony pula adalah perisian berbayar yang lebih kompleks,  aras lebih tinggi dan banyak fungsi animasi yang lebih menarik.

Perisian ini kerap digunakan oleh syarikat-syarikat gergasi animasi dan menghasilkan filem animasi mereka.

Aplikasi yang digunakan dari kiri (atas) Flipaclip, Krita dan Ibis Paint X manakala (bawah) Kinemaster, Adobe Animate dan Toon Boom Harmony.

 

Tip 10: Kesabaran dan keyakinan adalah kunci utama dalam mempelajari dan menghasilkan animasi

Penghasilan animasi yang baik memerlukan proses pembelajaran yang panjang dan penuh kesabaran. Jika anda tidak pernah melukis, mungkin perlukan ilmu melukis terlebih dahulu. Jika tidak biasa dengan aplikasi atau perisian animasi, perlukan masa untuk biasakan diri dengan aplikasi atau perisian tersebut.

Walaupun begitu, kesemua ini adalah proses dan mungkin memakan masa beberapa tahun untuk membiasakan diri dalam animasi ini. Jika kita memilih untuk putus asa, pastikan kita jelas matlamat kenapa kita ingin hasilkan animasi dan teruskan bersabar.

Antara pemangkin semangat dalam membuat animasi ini adalah dengan keyakinan yang tinggi terhadap animasi yang di hasilkan.

Setiap animasi yang dibuat, pastikan yakin untuk berkongsi kepada orang ramai untuk menerima kritikan dan penambahbaikan untuk masa akan datang.

Banyak lagi tip yang boleh anda dapat jika anda betul-betul minat dan ada kesungguhan dalam menghasilkan animasi ini.

Paling penting perlu mulakan langkah yang pertama iaitu mulakan lukisan pertama anda. Jika terus beralasan tidak pandai atau tiada masa, ini bermakna anda belum termotivasi lagi untuk menghasilkan animasi pertama.

Artikel berkaitan 

Guru RBT ini nekad lahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran

Lemah dalam Fizik? Ibu bapa dan pelajar boleh cuba cara ini untuk analisis tahap pencapaian subjek tersebut. Berkesan!

6 tip jadi pemain catur


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok