160821-biasiswa
160821-biasiswa

41 rakyat Malaysia terima biasiswa Chevening lanjut pelajaran di UK

webadmin
16 Aug 2021 05:05pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 41 rakyat Malaysia akan meneruskan pengajian pascasiswazah di United Kingdom (UK) sebagai penerima biasiswa Chevening untuk tahun akademik 2021/2022.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay dalam kenyataannya melahirkan rasa syukur kerana pandemik yang melanda dunia kini tidak menjadi penghalang kepada para sarjana berusaha untuk memperoleh kecemerlangan akademik serta pengalaman dan pendedahan berharga dengan belajar di UK.

Beliau memberi jaminan kepada para sarjana Chevening dan semua pelajar Malaysia yang merancang untuk melanjutkan pelajaran di UK bahawa universiti bersedia untuk menyediakan pengajaran berkualiti tinggi, selaras dengan panduan kerajaan untuk memastikan semua pelajar selamat dan disokong.

Pada prapelepasan secara maya untuk penerima hari ini, beliau berkata banyak universiti di UK akan mengguna pakai ‘pendekatan hibrid’ untuk pengajaran, dengan banyak kelas diajar secara bersemuka tetapi ada beberapa elemen dibuat secara dalam talian.

Kumpulan sarjana ini akan berlepas ke UK seawal September tahun ini untuk melanjutkan program pascasiswazah di universiti-universiti terkemuka di UK dalam bidang seperti perubahan iklim, undang-undang, hak asasi manusia, dasar awam dan kesihatan awam.

Hay berkata kitaran permohonan baharu Chevening kini dibuka dan rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana di UK perlu memohon sebelum tarikh akhir pada 3 November 2021.

Sila layari www.chevening.org/malaysia untuk maklumat lanjut.

Anugerah biasiswa Chevening adalah program biasiswa global kerajaan UK yang dibiayai dan ditadbir oleh Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan.

Rakan korporat termasuk CIMB Group Holdings Berhad, Yayasan Khazanah, Yayasan Jeffrey Cheah dan universiti-universiti British menyediakan dana tambahan untuk program itu.

Malaysia adalah penerima anugerah Chevening kedua terbesar di ASEAN dengan lebih 1,700 alumni Malaysia. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok