Untitled design (67)
Untitled design (67)

5 kumpulan penyelidik universiti terima GPPT MQA

Norliza Wasilan
20 Oct 2022 11:49am
A
A
A

Lima kumpulan penyelidik universiti di negara ini menjadi penerima sulung Geran Penyelidikan Pendidikan Tinggi (GPPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), baru-baru ini.

Penerima berkenaan diwakili ketua penyelidik iaitu Profesor Madya Ts Dr Siti Hajar Halili dari Universiti Malaya (UM); Profesor Madya Ir Ts Goh Boon Hoe dari University of Nottingham Malaysia; Profesor Dr Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dari Universiti Sains Malaysia (USM); Dr Norfadzilah Ahmad dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Dr Mawarny Md Rejab dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari, kumpulan penerima sulung geran terbabit diharap dapat menghasilkan penyelidikan berkualiti.

“Hasilnya nanti diharap dapat meningkatkan imej pengajian tinggi negara di persada nasional dan antarabangsa seterusnya membantu merealisasikan hasrat KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

“Perkara ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasa agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan memberi akses lebih luas kepada masyarakat untuk meningkatkan kelayakan akademik,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Geran Penyelidikan Pendidikan Tinggi (GPPT) MQA, di Cyberjaya, kelmarin.

Khairul Salleh.

Hadir sama, Ahli Majlis MQA, Profesor Datin Paduka Dr Samsinar Md Sidin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Halinordina Mat Saat; Pengarah Kanan (Subsektor Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Bahagian Kewangan MQA, Noor Asimah Ali; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MQA, Abdul Razak Mohamed; Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti, Muhamad Amran Zainal Abidin dan Pengarah Bahagian Standard MQA, Kamarul Bakri Abd Aziz.

Mengulas lanjut, ujar Khairul Salleh, penganugerahan itu dilakukan berdasarkan Perancangan Strategik MQA 2021 – 2025 iaitu di bawah Strategi 1.3: Memperkasa Kajian dan Penerbitan Pembelajaran Masa Hadapan.

Tambahnya, permohonan GPPT MQA itu dibuka bermula 1 April sehingga 10 Mei lalu dan pemakluman keputusan dilakukan menerusi surat rasmi dan e-mel.

“MQA menerima ratusan permohonan bagi tujuan ini dan kami sebulat suara memilih lima tajuk penyelidikan untuk dianugerahkan geran penyelidikan.

“Semoga penawaran ini dapat menyuntik semangat dan mencetus inspirasi kepada penyelidik untuk membuat penyelidikan dan inovasi dalam usaha memacu kualiti martabat pendidikan tinggi di negara ini,” tambahnya lagi.

Artikel berkaitan

Pendidikan tinggi untuk masa depan

MQA, EMGS perkukuh kerjasama akreditasi program pelajar antarabangsa

Program Sangkutan Industri pacu kecemerlangan pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok