WhatsApp Image 2022-09-08 at 2.16.35 PM
WhatsApp Image 2022-09-08 at 2.16.35 PM

MQA, EMGS perkukuh kerjasama akreditasi program pelajar antarabangsa

Norliza Wasilan
08 Sep 2022 02:31pm
A
A
A

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) memperkasa kerjasama strategik bagi mempermudah proses kemasukan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran berkata, kerjasama berkenaan membabitkan perkongsian data untuk kedua-dua agensi yang terletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu.

“Kerjasama ini akan memberi manfaat dalam proses perkongsian data Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan data akreditasi, seterusnya digunakan untuk mempromosi Malaysia sebagai hab pendidikan global.

“Merujuk kepada data akses capaian MQR sepanjang tahun 2021, sekitar 2,828,469 carian dibuat dan 1,673,080 carian lagi sehingga Ogos lalu.

“Ini membuktikan masyarakat awam sudah menyedari kepentingan untuk menyemak kelayakan dan akreditasi sesuatu program sebelum memilih melanjutkan pengajian,” ujarnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dan EMGS di Mercu MQA, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Mohammad Shatar mewakili MQA, manakala EMGS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Radzlan Jalaludin.

Turut menyaksikan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Pengarah Bersekutu (Strategi Korporat) EMGS, Azhar Mohamed.

Turut hadir, Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan Pengarah Kanan, Pemasaran, Komunikasi dan Penjenamaan EMGS, Rahimah Ibrahim.

Sementara itu, menurut Mohd Radzlan, menerusi kerjasama itu, MQA diberikan kemudahan mengakses data yang bersesuaian menerusi sistem Student Application Registration (STARS) dan Dashboard EMGS bagi kegunaan rujukan dan semakan kesahihan maklumat pelajar antarabangsa.

Tuturnya, proses itu bagi memastikan kursus ditawarkan mempunyai akreditasi yang dikemas kini mengikut rekod MQA.

“Kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan lebih banyak jalinan strategik kedua-dua agensi di bawah KPT ini secara bersepadu, seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia.

“EMGS juga komited untuk terus menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia menjelang tahun 2025,” katanya.

Artikel berkaitan

UniKL penuhi impian untuk belajar di Korea Selatan

Budayakan pendidikan halal, dalam kalangan pelajar sekolah

Membanggakan! Pelajar Berkeperluan Khas KV Keningau terima Anugerah World Changer


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok