Murid Tahun Satu di Sabah, menghadiri sesi persekolahan 2025/2026 pada hari pertama sambil ditemani ibu bapa.
Murid Tahun Satu di Sabah, menghadiri sesi persekolahan 2025/2026 pada hari pertama sambil ditemani ibu bapa.

527,399 murid, pelajar mula sekolah di Sabah

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
17 Feb 2025 12:30pm

Seramai 527,399 pelajar dan murid di seluruh Sabah memulakan persekolahan bagi sesi tahun 2025/2026 pada Isnin.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, jumlah itu melibatkan murid prasekolah, murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu.

"Jumlah keseluruhan adalah seramai 527,399 iaitu melibatkan seramai 21,169 murid prasekolah dan seramai 44,009 murid Tahun Satu untuk di sekolah rendah.

"Sementara itu, untuk pelajar Tingkatan Satu pula seramai 46,303 pelajar yang memasuki sesi persekolahan di sekolah menengah kali ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Raisin berkata, minggu pertama sesi persekolahan merupakan minggu suai kenal untuk murid dan ia berjalan dengan lancar.

"Proses pengajaran dan pembelajaran tidak dilaksanakan sepanjang minggu suai kenal.

"Aktiviti yang dilaksanakan oleh sekolah adalah untuk menarik minat murid hadir ke sekolah di mana mereka berasa seronok datang ke sekolah dan berjumpa dengan kawan-kawan mereka setelah bercuti selama sebulan.

"Bagi murid Tahun Satu akan melalui Program Transisi Penyayang sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran formal di bilik darjah," katanya.

Beliau sebelum itu melawat lima sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu.

Sabah antara negeri dari Kumpulan B yang memulakan sesi persekolahan bermula Isnin selain Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp