kampus3
kampus3

5,410 pelajar UMK kembali ke kampus

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Feb 2022 10:00am
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersedia menerima kemasukan seramai 5,410 orang daripada 11,436 pelajar sesi akademik 2021/2022 secara fizikal ke kampus bermula 20 Mac 2022.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMK, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, proses kemasukan pelajar ke kampus UMK di Bachok, Pengkalan Chepa dan Jeli itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata, kemasukan pelajar berdasarkan kepada kapasiti 70 hingga 100 peratus selaras dengan saranan Bilik Gerakan Covid-19 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Kemasukan pelajar mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) penjarakan dan kuarantin bagi memastikan proses berjalan lancar.

"Terdapat dua kategori pelajar yang akan hadir iaitu pelajar yang menginap di kolej kediaman membabitkan bilangan 3,924 orang dan penuntut yang menginap di luar kampus iaitu seramai 1,486 orang," katanya.

Sementara itu Razli berkata, UMK akan terus mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid sepanjang semester ini dan pihak fakulti telah sedia maklum mengenai SOP dalam pengendalian kuliah, makmal atau aktiviti klinikal.

Bagi pembelajaran luar bilik kuliah seperti aktiviti sukan dan riadah, UMK turut menyediakan SOP terkini berpandukan arahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"SOP ini akan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa, sesuai dengan tahap pandemik yang melanda negara.

"Hebahan kesihatan juga akan turut sentiasa diadakan bagi memastikan pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh pengajian," ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK Kampus Kota, Larryson Joanis@Oyok menyambut baik keputusan KPT membenarkan kemasukan pelajar pada Mac depan.

Ujarnya, pelaksanaan kemasukan semula di kampus banyak memberikan manfaat kepada pelajar dalam aspek fasiliti dan kemudahan yang lengkap untuk mereka mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

"Sebahagian pelajar juga memerlukan suasana persekitaran kampus yang baik dan kondusif sekali gus mampu memastikan mereka dapat fokus serta melaksanakan setiap tugasan dengan baik.

"Pembelajaran di kolej adalah lebih merangsang kepada proses perkembangan intelektual mahasiswa khususnya untuk aktiviti pembelajaran secara berkumpulan bagi membincangkan segala persoalan dan permasalahan ketika belajar," jelasnya.

Tambah beliau, kemasukan secara fizikal ke kampus merupakan sebuah pendekatan yang baik dan wajar di ambil oleh pihak pengurusan Universiti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok