No Image Caption

Roziana buktikan anak Kampung Mentelung juga boleh genggam dunia!

15 Jul 2025 06:05pm

Tekad anak muda Orang Asli suku kaum Jakun untuk menimba ilmu dalam bidang ekonomi membuahkan hasil selepas Roziana Tan Beng Hai, 20, ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang itu di University of Manchester, United Kingdom.

Roziana yang berjaya mencatat keputusan 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 mengakui memilih bidang ekonomi dan sosial (Economic and Social Studies) kerana berhasrat meningkatkan taraf ekonomi bangsanya serta menjadi pegawai ekonomi.

"Saya merupakan orang pertama dari Kampung Mentelung, Rompin yang melanjutkan pelajaran dalam STPM. Di kampung, tidak ramai yang berpendidikan tinggi dan kebanyakan daripada mereka adalah dalam kategori B40.

"Jadi, saya harap dapat meningkatkan taraf hidup dan peluang pekerjaan untuk masyarakat saya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang SPM dan STPM 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sebuah hotel di Kuantan, Pahang pada Selasa.

Roziana (kanan) dan Siti Hawani (kiri) selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA, SPM dan STPM 2024 di sebuah hotel di Kuantan.
Roziana (kanan) dan Siti Hawani (kiri) selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA, SPM dan STPM 2024 di sebuah hotel di Kuantan.

Beliau turut berkongsi bahawa peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara merupakan satu cara untuk membalas jasa ibunya Rohani Lamwan, 56, yang membesarkannya seorang diri dengan bekerja di Ladang Sawit YP Plantation Holdings Sdn Bhd.

"Saya perlu beri ibu saya sesuatu kejayaan, supaya dia boleh ingat yang dia besarkan saya tidak sia-sia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai persiapan untuk ke universiti di ranking ke-53 dunia itu, Roziana sedang bersedia untuk menduduki Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) pada 19 Julai ini.

Sementara itu, Siti Nur Hawani Binti Muhammad Almi, 18, yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dengan keputusan 9A akan menyambung pengajian dalam jurusan Pendidikan Islam di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu pada 11 Ogos ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Hasanah, Rompin itu berkata jurusan pendidikan Islam merupakan pilihan utama baginya, selain beliau juga bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik atau ustazah.

"Saya sangat terinspirasi dengan guru-guru saya di sekolah dan saya rasa mengajar ini seronok. Saya di sekolah juga menjadi seorang guru muda SPM untuk kawan-kawan dan saya dapat semangat itu daripada situ," katanya.

Dalam masa sama, beliau menitipkan pesanan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM agar berani keluar dari zon selesa demi mencapai kejayaan luar biasa.

"Dulu saya tidak pernah dapat 8A atau 9A, paling tinggi pun 5A atau 6A dan agak malas serta tidak fokus. Tetapi bila SPM semakin hampir, saya sedar kena berubah. Saya paksa diri untuk lebih berusaha dan akhirnya saya berjaya dapat 9A. Alhamdulillah," katanya.

Roziana menerima Anugerah Khas Murid Cemerlang STPM daripada Mohd Zamri pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA.
Roziana menerima Anugerah Khas Murid Cemerlang STPM daripada Mohd Zamri pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA.

Roziana dan Siti Nur Hawani merupakan antara 149 murid Orang Asli yang menerima pengiktirafan dalam majlis hari ini atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan awam tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jakoa Zamri Mustajap berkata pihaknya juga memperuntukkan insentif berjumlah RM45,550 kepada semua penerima. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp